Bertanding lambang UMNO takkan ubah persepsi pengundi, kata penganalisis

0
145

 PENGANALISIS politik percaya menggunakan lambang sendiri untuk bertanding pilihan raya tidak akan mengubah persepsi pengundi Melayu terhadap UMNO.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara menjelaskan masalah yang dihadapi UMNO ketika ini yang hilang kepercayaan pengundi Melayu “melampaui isu lambang”.

“Dalam hal ini, saya melihat desakan menggugurkan atau menjatuhkan presiden UMNO ia tidak membawa perubahan apa-apa terhadap sangkaan pengundi Melayu terhadap UMNO, begitu juga penggunaan logo UMNO, ia tidak akan mengubah persepsi pengundi Melayu,” katanya kepada FMT.

Mujibu Abd Muis dari Universiti Teknologi Mara senada mengatakan lambang UMNO tidak boleh dijadikan sandaran untuk meraih undi Melayu.

“Penolakan bukan baru, ia bukan soal lambang atau apa, ia soal persepsi dan keyakinan terutamanya orang Melayu, akar umbi tak nampak UMNO sebagai parti yang memperjuangkan mereka,” katanya kepada FMT.

Penganalisis mengulas persoalan yang dibangkitkan oleh Ketua Penerangan UMNO Azalina Othman Said sama ada parti itu boleh pertimbang untuk bertanding atas tiket sendiri pada PRU akan datang.

Persoalan itu dilontarkan Azalina ketika UMNO berdepan penolakan orang Melayu pada PRN 12 Ogos lalu.

Azizuddin Sani dari Universiti Utara Malaysia berkata PRK Pelangai pada Oktober depan masa sesuai untuk menguji sebesar mana kesan lambang UMNO kepada pengundi Melayu.

“Saya rasa waktu inilah kena cuba sebab ada PRK kalau waktu PRN atau PRU berat sikit nak cuba,” katanya kepada FMT, sambil menambah UMNO tidak pernah mencuba langkah itu.

Presiden UMNO Datuk Seri Zahid Hamidi baru-baru ini mengumumkan Barisan Nasional akan mempertahankan DUN Pelangai, yang kosong selepas kematian penyandang,Datuk Johari Harun, dalam nahas pesawat di Shah Alam pada 17 Ogos lalu.

Pada PRU15, BN menang di Pelangai apabila meraih 7,308 undi, lalu menewaskan calon Perikatan Nasional (3,260 undi), Pakatan Harapan (2,031 undi), dan Pejuang (65 undi) dengan majoriti 4,048 undi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here