Keputusan DNAA kes Zahid letakkan PH dalam dilema

0
499

PENGGUGURAN pertuduhan Jabatan Peguam Negara (AGC) terhadap Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi mengakibatkan PH berada dalam dilema, kata seorang ahli parlimen kerajaan seperti dilaporkan Malaysiakini.

Dia yang enggan namanya didedahkan berkata, tiada ahli dari gabungan itu yang berpuas hati dengan keputusan membebaskan tanpa melepaskan (DNAA) Ahmad Zahid oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 Sept.

“Sesetengah ahli parlimen kecewa dengan perkara ini, mereka tidak ada penjelasan mengenainya, jadi mereka mengelak daripada memberikan kenyataan.

“Apa yang boleh saya katakan, tiada tutup mulut dikeluarkan untuk menghalang ahli parlimen PH daripada bercakap mengenai isu ini.

“Ia lebih kepada ‘macam mana kita nak respons terhadap perkara ini’ saja.

“Jika kamu tanya kepada sesiapa daripada PH, tak ada yang berpuas hati,” katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi semalam.

Menurut ahli parlimen itu, PH memang menjangkakan sejak awal perkembangan seperti yang berlaku baru-baru ini akan berlaku.

Bahkan, katanya, ia diramal seawal PH bekerjasama dengan BN untuk membentuk kerajaan pusat selepas PRU ke-15 pada tahun lalu.

“Itu ‘harga’ yang perlu dibayar,” katanya lagi.

Malaysiakini menghubungi sembilan ahli parlimen dari PKR, DAP dan Amanah untuk mendapatkan komen tetapi hanya dua orang bersetuju untuk mengulas perkara tersebut.

Daripada dua ahli parlimen itu, hanya seorang – Ahli Parlimen Hulu Langat Mohd Sany Hamzan – mengizinkan namanya disiarkan.

Sambil menegaskan pilihan raya kecil (PRK) untuk Pulai dan Simpang Jeram sedang berjalan, ahli parlimen PH yang enggan namanya didedahkan itu menyuarakan kebimbangan bahawa keputusan DNAA berkenaan boleh memberi kesan kepada peratusan keluar mengundi Sabtu ini.

Oleh itu, dia meminta supaya semua pihak berhenti membincangkan dan berdebat berhubung perkara itu bagi mengelakkan sebarang gangguan kepada PRK berkenaan.

“Ini masa yang sangat penting bagi kerajaan. Lagi banyak kita bercakap tentang isu ini… kita mungkin boleh menjejaskan keputusan (PRK) dan penting untuk kita mengekalkan majoriti dua per tiga (di parlimen).

“Walaupun selepas kita memenangi pilihan raya kecil, siapa tahu sama ada (Ahli Parlimen Muar) Syed Saddiq (Syed Abdul Rahman) akan terus menyokong kerajaan atau tidak? Inilah sebabnya mengapa majoriti dua per tiga sangat penting,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here