BERSATU terus pertahan kepercayaan rakyat – Muhyiddin

Ucapan sempena ulangtahun tahun ketujuh BERSATU hari ini.

0
535

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) akan terus menjunjung kepercayaan rakyat sebagai teras utama dalam menelusuri liku panjang perjuangan parti yang semakin mencabar.

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sejarah telah membuktikan parti-parti politik yang gagal meraih kepercayaan rakyat akan runtuh.

“Keruntuhan sebuah parti bermula dengan defisit kepercayaan atau “trust deficit” yang berpunca daripada tindak-tanduk kepimpinan parti yang bercanggah dengan prinsip dan teras perjuangan parti semata-mata untuk menjaga kepentingan diri. Cakap lain, buat lain.

“Apabila hal ini berlaku, parti itu akan kehilangan sokongan ahli-ahli parti dan juga rakyat. Akhirnya, parti itu akan ditolak oleh rakyat dan tersembam menyembah bumi,” katanya dalam ucapan sempena ulang tahun BERSATU ketujuh hari ini.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional menamnah, beliau yakin BERSATU akan terus cekal menjunjung prinsip perjuangannya.

“Sejarah perjuangan parti kita selama tujuh tahun ini, walaupun singkat, telah menunjukkan kemampuan kita untuk terus kekal berada di landasan yang betul.

“Di saat parti kita berhadapan dengan tentangan dan cabaran yang getir, kita mampu memilih haluan yang selari dengan prinsip dan teras perjuangan parti, bukan kepentingan diri,” ujarnya.

Muhyiddin berkata, dengan kemampuan itulah BERSATU berada pada kedudukan hari ini menjunjung panji-panji perjuangan parti dengan megah dan bersemangat waja.

“InsyaAllah, berkat pengorbanan dan doa ahli-ahli serta penyokong BERSATU, parti kita akan terus mara sebagai sebuah parti yang BERSATU, BERAMANAH dan BERMARUAH,” tegasnya.

Muhyiddin berkata, sempena ulangtahun ketujuh, BERSATU telah mara sebagai sebuah parti politik yang semakin mendapat dokongan rakyat terutamanya orang Melayu.

Pada masa yang sama, ujarnya, sayap Bersekutu BERSATU yang dianggotai oleh orang-orang bukan Melayu juga semakin mendapat sambutan.

“Kunci kepada dokongan rakyat ini ialah kecekalan BERSATU untuk kekal menjunjung prinsip dan teras perjuangan supaya terus berada di landasan yang betul.

“Rakyat dapat menilai kecekalan BERSATU dalam berjuang membela nasib rakyat dan menentang kemungkaran.

“Dengan itu mereka memberi kepercayaan dan sokongan kepada BERSATU. Ini dapat dilihat melalui prestasi BERSATU menerusi Perikatan Nasional dalam Pilihanraya Umum Ke-15 dan Pilihanraya Negeri yang berlangsung baru-baru ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here