PRK:Hadi gesa ahli UMNO undi calon PN untuk selamatkan negara

0
120

PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengajak ahli UMNO mengundi calon Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kwecil (PRK) DUN Simpang Jeram yang disifatkan sebagai tanggungjawab mereka untuk menyelamatkan negara dan Islam.

Menurut Hadi, penyokong UMNO perlu mengundi calon PN, Dr. Mohd. Mazri Yahya atas alasan semak dan imbang walaupun kemenangan itu tidak mampu menukar kerajaan negeri dikuasai Barisan Nasional (BN).

“Orang UMNO di Johor kena fikir panjang sebelum mengundi, ada kewajipan nak selamatkan negara, walaupun tidak memerintah, tetapi satu kerusi inilah amar makruf nahi mungkar di DUN demi selamatkan agama dan umat.

“Saya harap sahabat UMNO atas pagar insaf, tanggungjawab nak selamatkan negara bersama Islam, walaupun satu kerusi makna sangat besar kerana kerusi ini akan jalankan amar makruf nahi mungkar di DUN,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Ceramah Perdana Perikatan Nasional DUN Simpang Jeram, di
Markas Pas Kawasan Bakri, Muar malam tadi.

Pada PRK Simpang Jeram 9 September depan, Mazri ditentang Ir. Nazri Abdul Rahman daripada Pakatan Harapan (PH) dan calon bebas S. Jeganathan.

PRK diadakan susulan kekosongan luar jangka kerana kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub, 23 Julai lalu.

Proses sama juga berlangsung di Parlimen Pulai yang turut diwakili bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu.

Dalam ceramah itu, Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang turut menjelaskan partinya sama sekali tidak pernah berhasrat menggantikan UMNO sebaliknya hanya berusaha untuk perpaduan dan penyatuan ummah.

“Bila masa Pas nak bunuh UMNO?, itu sahaja dalam kepala dia (pemimpin UMNO),” katanya lapor FMT.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Ahmad Amzad Hashim dalam ceramah sama juga menyentuh soal penyatuan ummah, merujuk kerjasama UMNO dan Pas dalam Muafakat Nasional (MN) yang wujud selepas BN tewas Pilihan Raya Umum ke-14.

Katanya, Pas sentiasa berpegang kepada hasrat tersebut dengan menjaga hubungan baik dengan sesama ahli UMNO.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here