Anwar perlu ‘berperanan seperti PM’, bukan ketua pembangkang, kata penganalisis

0
137

KEGAGALAN kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) untuk mendapatkan sokongan daripada majoriti pengundi Melayu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini antaranya disebabkan Datuk Seri Anwar Ibrahim masih bersikap seperti ketua pembangkang dan bukannya sebagai perdana menteri yang menyelesaikan masalah rakyat, kata penganalisis. 

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar berkata, tindakan Anwar yang terlalu sibuk berpolitik dan tidak henti-henti menyerang Perikatan Nasional (PN) akhirnya memberikan imej negatif dan rakyat melihat beliau seolah-olah cuba memainkan peranan seperti ketua pembangkang dahulu. 

Katanya, ini menyebabkan penolakan rakyat terutamanya pengundi Melayu yang kecewa melihat perdana menteri tidak memberikan tumpuan untuk menyelesaikan masalah rakyat.

“Tumpuan beliau ialah kepada pemulihan ekonomi berbanding bertungkus-lumus turun ke lapangan untuk berkempen seperti ketika jadi ketua pembangkang dahulu,” katanya kepada MalaysiaNow. 

Baru-baru ini Ketua Bersatu Bahagian Nibong Tebal Yaakob Osman dalam tulisannya di Facebook yang bertajuk “Anwar hilang taring?” menyenaraikan kawasan yang perdana menteri turun untuk berkempen pada PRN lalu akan tetapi menyaksikan kekalahan gabungan PH-BN. 

“Tidak cukup dengan ‘billboard’ Malaysia Madani dengan wajah senyum sumbingnya, beliau sendiri turun ke gelanggang. 

“Permatang Pauh, Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, Seberang Jaya dan Permatang Pasir,” katanya merujuk kepada kampung halaman Anwar yang menyaksikan PN menyapu bersih ketiga-tiga kerusi DUN dalam kawasan Parlimen tersebut. 

PRN di enam negeri baru-baru ini menyaksikan kedudukan status quo di mana gabungan PH-BN berjaya mengekalkan Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, sementara PN pula berjaya mengekalkan penguasaan di Kedah, Terengganu dan Kelantan. 

Akan tetapi PN berjaya menafikan majoriti dua pertiga gabungan PH-BN di Selangor apabila berjaya memenangi 22 daripada 56 kerusi DUN. 

Di Pulau Pinang pula, PN berjaya mendapat 11 kerusi DUN dan 5 di Negeri Sembilan. Di negeri-negeri yang dimenangi PN pula, majoriti kerusi bertambah dengan banyak di mana negeri seperti Terengganu menyaksikan PN menyapu bersih kesemua 32 kerusi DUN. 

Lebih mencabar bagi Anwar

Menurut Hisommudin, harapan rakyat terlalu tinggi kepada kerajaan dan Anwar seharusnya menumpukan untuk melaksanakan segera janji PH pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu.

“Harapan rakyat terlalu tinggi untuk beliau mengurangkan kos sara hidup. 

“Ini kerana beliau dilihat terlalu banyak berpolitik, tampil atas pentas dengan mesej keras seolah beliau masih lagi ketua pembangkang. Jadi tumpuan perdana menteri selepas ini agak mencabar,” katanya.

Seorang lagi penganalisis Azmi Hassan dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) berkata, kesilapan Anwar dan gabungan PH-BN kerana terlalu agresif ketika berkempen sehingga rakyat melihat perdana menteri lebih menumpukan kepada agenda politiknya daripada menyelesaikan masalah negara terutama isu melibatkan ekonomi dan kos sara hidup.

“Perdana menteri perlu tunjuk kesungguhan beliau, dan kesungguhan itu adalah dengan mentadbir negara selesaikan masalah negara dan rakyat. 

“Anwar hanya perlu jalankan tugas sebagai perdana menteri sahaja,” katanya. 

Bagaimanapun, penganalisis dari USM Azmil Tayeb berkata kegagalan gabungan PH-BN mendapatkan sokongan Melayu bukan soal pengaruh Anwar berkurangan namun lebih kepada kegagalan beliau untuk memujuk bagi mendapatkan sokongan.

“Anwar adalah seorang figura yang sama ada disukai atau tidak disukai masyarakat. 

“Jadi saya melihat ini sebagai kegagalan Anwar untuk memujuk orang tidak menyukai beliau untuk menyokong beliau dan PH dan BN,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here