Kes Zahid, Muhyiddin tak sama, peguam, bekas menteri bidas Saifuddin

0
290

DUA peguam membidas kenyataan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail yang cuba menyamakan kes timbalan perdana menteri, Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin selepas mahkamah tinggi semalam mengarahkan Zahid dilepas tanpa dibebaskan (DNAA).

Rafique Rashid berkata, meskipun mahkamah memutuskan demikian, permohonan diminta oleh pihak pendakwa raya meskipun setelah berjaya mendapatkan prima facie untuk 47 kes membabitkan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi milik presiden Umno itu. 

“Ini sangat berbeza dengan kes Muhyiddin kerana pasukan pembelaan beliau yang memfailkan untuk tuduhan digugurkan dan mahkamah mendapati tuduhan itu cacat,” katanya kepada MalaysiaNow.

Saifuddin semalam berkata perintah DNAA untuk Zahid merupakan proses yang wajar di mahkamah. 

“Keputusan dibuat mahkamah, ‘due process’. Seperti beberapa minggu lepas, mahkamah juga bebaskan presiden Bersatu Muhyiddin.

“Jadi, kalau hari ini mahkamah buat keputusan yang sama, maka itulah keputusan mahkamah,” kata Saifuddin. 

Beliau merujuk kepada keputusan mahkamah membebas dan melepaskan Muhyiddin daripada empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk rasuah berjumlah RM232.5 juta bagi parti itu.

Rafique berkata, Saifuddin yang tiada latar belakang undang-undang itu perlu berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan.

“Apa yang beliau kata ialah pendirian kerajaan yang (dalam kes ini) salah,” katanya.

Sementara itu, bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim berkata, terdapat penjelasan tuntas mengenai mengapa Muhyiddin dibebaskan.

“Mahkamah selepas mendengar penghujahan, memutuskan beliau tiada kes yang perlu dijawab. 

“Tuduhan tersebut cacat,” katanya. 

Zaid berkata, dalam kes Zahid, Perdana Menteri Anwar Ibrahim perlu memberikan jawapan. 

“Mengapa Zahid dibebaskan setelah dipanggil bela diri? Tidak pernah berlaku sebelum ini. 

“Saya tidak tahu kenapa dan anda perlu bertanya kepada peguam negara, menteri undang-undang dan perdana menteri,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here