Anwar perlu bertanggungjawab atas kerosakan sistem keadilan negara, kata Muhyiddin

0
483

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mesti mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap kerosakan yang berlaku dalam sistem keadilan negara ketika ini, kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin susulan pembebasan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atas tuduhan rasuah dan salah guna kuasa.

Muhyiddin berkata, beliau percaya perkara ini berlaku adalah berpunca daripada kerakusan Anwar sendiri untuk kekal berkuasa. 

“Ia membuktikan sikap munafik beliau yang nyata,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

“Slogan reformasi institusi dan tata kelola yang sering beliau dilaungkan hanyalah suatu pembohongan dan omongan kosong sahaja.”

Muhyiddin berkata, keputusan menggugurkan pertuduhan terhadap Zahid pastinya menggoncang keyakinan pelabur terhadap sistem keadilan di Malaysia. 

“Sudahlah seorang yang berhadapan tuduhan jenayah rasuah dilantik ke jawatan nombor dua tertinggi negara, malah pertuduhan ke atasnya juga digugurkan. 

“Malaysia telah menjadi ‘a rogue state’ atau negara penyangak,” tambahnya.

Tambah Muhyiddin, sudah tiba masanya rakyat menilai semula keabsahan kerajaan perpaduan ini yang sepatutnya mendukung kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan.

Semalam, Zahid yang berdepan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan rasuah, dan 27 pengubahan wang haram membabitkan berpuluh juta ringgit milik Yayasan Akalbudi dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here