Rakyat Terengganu pilih PN sebagai wadah politik baharu ganti UMNO

0
383

Oleh MOHD LAZIM ENDUT

KEJAYAAN Perikatan Nasional (PN) mencipta sejarah baharu dengan memenangi kesemua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu dalam Pilihan Raya Negeri ke15 (PRN15) pada 12 Ogos lalu menetapi ramalan banyak pihak.

Ini kerana, sejak hari pembubaran DUN lagi, ramai yang sudah menjangkakan kemenangan bakal berpihak kepada PN diwakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Islam SeMalaysia (Pas).

Ramalan itu bukan sahaja datangnya daripada pemimpin Bersatu dan Pas, tetapi juga membabitkan penganalisis dan pemerhati politik tempatan serta sebahagian besar rakyat di negeri ini.

Sejak dari awal lagi rata-ratanya sudah menaruh keyakinan bahawa PN mampu mempertahankan pemerintahan di Terengganu.

Namun, pada mulanya mereka tidak menjangkakan kemenangan diraih ialah 32-0 iaitu menyapu bersih kesemua kerusi dipertandingkan.

Bagi kebanyakan penganalisis politik mereka seakan tidak percaya dengan apa yang berlaku memandangkan UMNO tidak pernah mengalami kekalahan teruk seperti itu.

Sebaliknya mereka ada menjangkakan tidak mustahil kemungkinan berlakunya ‘swing state’ menerusi gandingan baharu Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) kali ini.

Ini memandangkan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada tahun 2018, parti pesaing utama itu masih memenangi 10 kerusi kubu kuat yang menjadi tonggak kewujudannya di Terengganu.

Bagaimanapun, ramai mengetahui bahawa isyarat dan amaran kepada UMNO sudah agak jelas ketika PRU15 pada 19 November lalu sebaik PN berjaya memenangi kesemua lapan kerusi Parlimen di Terengganu.

Walaupun begitu, ada yang berpendapat apa yang berlaku sewaktu PRU15 tidak boleh dijadikan sebagai ukuran atau perbandingan.

Justeru, mereka menyifatkan pencapaian dan keputusan menang 32-0 sebagai agak luar biasa dan luar dugaan.

Apatah lagi, PN juga turut menang bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu dengan majoriti lebih besar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan serentak pada tarikh tersebut.

Maka itu, ia seolah membuktikan bahawa rakyat Terengganu yang majoritinya terdiri daripada pengundi Melayu kini menjadikan PN sebagai wadah politik baharu bagi menggantikan UMNO.

Ketika PRN15 lalu, pada awalnya ada yang meramalkan PN akan menang dengan kedudukan 17-15 kerusi dan BN-PH juga berpeluang mencipta kejutan.

Namun, pada saat-saat terakhir kempen pilihan raya diadakan, Pengerusi PN Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar begitu optimis gabungan parti berkenaan akan menang besar dengan keputusan 32-0.

Keyakinan itu dibuat berdasarkan berlakunya peningkatan sokongan rakyat termasuk ‘pertelingkahan’ melibatkan agihan kerusi antara BN dan PH.

Selain itu, isu pemilihan calon ditampilkan UMNO yang ditolak pengundi setempat khususnya daripada parti tersebut juga dikatakan sebagai punca BN tewas.

Ia agak berbeza dengan PN khususnya Pas yang sentiasa menerapkan elemen memilih parti bukannya calon dalam kalangan ahli dan penyokong mereka, selain kehadiran pengundi berusia 18 tahun serta pengundi luar dan juga pengundi atas pagar.

Pada masa sama, penolakan rakyat turut dikaitkan dengan faktor ahli dan penyokong UMNO telah berpaling tadah lalu bertindak menyokong dan memberikan undi kepada calon PN.

Ia berlaku kerana ahli dan penyokongparti berkenaan dikatakan telah menolak presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bukan menolak parti.

Mereka mahukan kepimpinan baharu yang mampu membawa hala tuju perjuangan parti bukan pemimpin yang disifatkan hipokrit dan membelakangkan
suara akar umbi.

Berdasarkan apa yang berlaku dalam parti UMNO kini, penulis percaya ia sangat memberi manfaat kepada PN
Untuk terus bertapak kuat dan kukuh di Terengganu.

Jika PRU15 sebagai permulaan bagi PN meletakkan tapak asas, kini selepas pasca PRN15 PN terus dilihat semakin kukuh untuk berdiri megah sekaligus mampu menggantikan UMNO sebagai parti baharu yang menjadi pilihan rakyat Terengganu.

Ia tidak mustahil kerana UMNO kini semakin ditolak rakyat gara-gara memiliki ramai pemimpin yang dikatakan ‘berkarat!’ di samping kaki bodek.

Dalam PRN15 pada 12 Ogos lalu, BN bukan sahaja gagal merampas pemerintahan Terengganu daripada PN sebaliknya turut diaibkan dengan kekalahan melibatkan 10 kerusi di kubu kuatnya yang sebelum ini berjaya dipertahankan sehingga PRU14 lalu.

Kerusi tersebut ialah Seberang Takir, Kijal, Telemung, Bukit Besi, Kuala Besut, Hulu Besut, Jertih, Permaisuri, Langkap dan Batu Rakit.

Perkembangan ini sekaligus menyebabkan kesemua pemimpin UMNO Terengganu termasuk bekas dua orang Menteri Besar iaitu Datuk Seri Ahmad Said dan Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman hilang jawatan sebagai ADUN serta tidak lagi bergelar Yang Berhormat (YB). – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here