Pergaduhan bola sepak; 20 lagi lelaki direman

0
208

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

SERAMAI 20 lagi individu ditahan reman hari ini susulan insiden pergaduhan antara penyokong pasukan bola sepak Penang FC dan Kedah FC selepas tamat perlawanan Liga Super di Stadium Bandaraya, Georgetown, Pulau Pinang malam semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kesemua mereka iaitu lelaki tempatan berusia antara 18 hingga 30 tahun yang berasal dari Pulau Pinang ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

“Dua daripada tahanan didapati mempunyai rekod lampau melibatkan kes dadah dan hasil ujian saringan awal ke atas kesemua suspek mendapati mereka negatif daripada pengambilan dadah,” katanya kepada pemberita hari ini.

Sebelum ini, video kejadian itu yang memaparkan pergaduhan antara sekumpulan lelaki dipercayai penyokong Penang FC dan Kedah FC tular di laman sosial media.

Pada perlawanan malam semalam, Kedah FC berjaya menundukkan Penang FC dengan keputusan 2-1 dalam aksi ‘derby’ utara yang berlangsung dalam suasana sedikit tegang.

Susulan itu, polis menahan tujuh lelaki tempatan berusia antara 18 hingga 38 tahun semalam, namun mereka telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Dalam pada itu, tambah Soffian, polis tidak menolak kemungkinan akan menahan individu lain susulan insiden pergaduhan tersebut berdasarkan siasatan yang sedang dijalankan.

”Oleh itu, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Inspektor Lim Zhao Yong di talian 01119078888 bagi membantu siasatan,” katanya.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan (merusuh) dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan (khianat). – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here