Ahli Parlimen BN nafi kosongkan kerusi Parlimen Putatan

0
131

AHLI Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya menolak khabar angin bahawa beliau antara tujuh ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang akan mengosongkan kerusi parlimen.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya Sabah menegaskan fokusnya ketika ini hanya mahu menyelesaikan masalah bekalan air dan jalan raya di negeri ini.

“Itu semua khabar-khabar angin, jangan terlampau difokus. Kita fokus kepada kerja saja.

“Tiada apa-apa setakat ini, saya tumpukan masa untuk selesaikan masalah air dan juga jalan raya,” katanya ringkas selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Ceramah Motivasi Sabah Maju Jaya di Dewan Sri Putatan, Putatan, Sabah pada Khamis.

Timbalan Ketua Menteri itu berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai khabar angin yang mendakwa tujuh Ahli Parlimen BN akan mengosongkan kerusi termasuk satu di Sabah.

Menurut laporan Sinar Harian, dakwaan itu dibuat oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam menerusi satu rakaman video di mana ahli Parlimen yang terlibat iaitu empat dari Johor dan satu masing-masing dari Sabah Pahang dan satu di sebuah negeri di utara tanah air.

Shahelmey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat sebelum ini digantung keahliannya dalam UMNO susulan tindakannya menyokong dan menandatangani akuan bersumpah (SD) untuk menyokong Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri dalam kemelut politik yang berlaku awal tahun ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here