PRN: Antara persepsi, spekulasi dan realiti, PN jangka menang besar di Terengganu

0
176

Oleh MOHD LAZIM ENDUT

MENJELANG beberapa jam lagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu berlangsung, bahan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu membabitkan parti-parti terlibat kelihatan semakin panas dan sengit.

Boleh dikatakan suasana di setiap ceruk kampung semakin sibuk dengan jentera parti yang mengadakan aktiviti memasang bendera parti masing-masing dan juga poster calon bertanding.

Sementara markas-markas parti pula begitu segar dan meriah pada sebelah malamnya dengan bersilih ganti mengadakan aktiviti ceramah.

Ketika PRN sudah memasuki kempen di saat terakhir ini ramai yang membuat pelbagai ramalan dan andaian mengenai parti manakah yang bakal menang dalam PRN malam esok.

Ramai menjangkakan Pas bersama gandingan parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menerusi Perikatan Nasional (PN) dijangka menang besar dengan catatan 32-0 atau 30-2 dalam PRN yang disifatkan agak sengit.

Bagi pengalisis dan pemerhati politik pula, mereka tidak menafikan Barisan Nasional (BN) bersama ‘isteri’ baharunya, Pakatan Harapan (PH) mampu membuat kejutan untuk menawan semula negeri ini daripada Pas.

Hal ini kerana dalam beberapa siri pilihan raya lalu, hanya Pas dan UMNO sahaja menjadi pilihan para pengundi di Terengganu di mana kedua-dua parti ini sentiasa bertukar ganti mentadbir kerajaan negeri.

Memandangkan BN kini masih berada dalam keadaan ‘trauma’ selepas tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 19 November tahun lalu di samping terlepas lapan kerusi parlimen, maka parti tersebut terus berusaha mecari ‘nyawa’ baharu.

Bagaimanapun, perkara itu agak sukar kerana ‘isteri’ baharu dipilih itu mempunyai banyak kontroversi dan skandal menyebabkan tidak begitu disenangi dalam kalangan anak-anaknya (ahli dan penyokong).

Walaupun pelbagai penjelasan dibuat, tetapi masih ramai ahli dan penyokong UMNO di negeri ini tidak dapat menerima kehadiran Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP.

Berdasarkan itulah ada yang meramalkan PN akan kekal memerintah Terengganu dengan kemenangan besar 32-0 atau 30-2 kerusi DUN di Terengganu.

Selain itu ada juga penganalisis politik menjangkakan gabungan BN-PH bakal memberikan persaingan sengit dan tidak mustahil mampu merampas semula Terengganu daripada Pas.

Mereka beranggapan perkara itu boleh berlaku kerana sejarah bersilih ganti dalam pemerintahan kerajaan negeri antara Pas dan UMNO mungkin boleh berulang.

Bagi penulis, apapun ramalan dan andaian dibuat, ia hanyalah berupa persepsi dan spekulasi daripada pihak pihak tertentu sahaja sama ada pemimpin politik, pensyarah institusi pengajian tinggi dan juga penganalisis politik.

Semuanya kerana disebabkan harapan atau impian untuk melihat parti-parti tertentu bakal memenangi PRN kali ini.

Namun, realitinya hanya rakyat dan pengundi sahaja yang bakal menentukan calon dan parti manakah bakal dipilih nanti.

Dalam konteks Terengganu, ia mempunyai beberapa kriteria tertentu untuk dinilai sehingga menyebabkan pemerintahannya sentiasa berubah.

Antaranya termasuklah melibatkan soal calon, kewibawaan parti, pengundi tegal serta isu dan juga sentimen.

Ada di sesetengah kawasan seperti Ru Rendang, Wakaf Mempelam, Batu Buruk dan Manir sememangnya cukup sinonim dengan parti Pas.

Malah, sejak sekian lama lagi kerusi ini dianggap sebagai antara kubu kuat Pas di Terengganu sehingga dikatakan kalau meletakkan unta sebagai calonpun parti itu boleh menang.

Hal ini kerana kerusi di kawasan ini memiliki ramai pengundi tegar yang cukup setia kepada parti bukan semata-mata calon.

Begitu juga dengan kerusi Seberang Takir, Telemung, Kuala Besut, Hulu Besut, Langkap, Permaisuri, Bukit Besi dan Batu Rakit sejak dari dahulu lagi kerusi ini didominasikan oleh UMNO.

Kemenangan UMNO di kerusi ini juga dikaitkan parti itu mempunyai pengundi yang setia selain jentera parti dan keahlian yang ramai.

Berdasarkan itulah kita perhatikan kenapa pemimpin UMNO berani mengatakan tidak mustahil parti itu mampu menawan semula Terengganu dalam PRN kali ini.

Kita tidak menafikan sebagai parti tertua, UMNO masih mempunyai keahlian yang cukup ramai berbanding parti pesaingnya, tetapi suasana berpolitik kini sudah banyak berubah.

Apakah menyebabkan PN dikatakan masih berpeluang memerintah Terengganu selepas PRN nanti?

Jawapannya sudah tentu ia berkait rapat dengan sesuatu isu yang tercetus menyebabkan pengundi semakin berasa muak.

Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir Ceramah Perdana Jelajah Mega PNBest Himpunan Teguh Pertahan di Dataran Jambatan Angkat, di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Antaranya ialah mengenai penolakan calon kegemaran dan pilihan pengundi, pergolakan dalaman serta tindak balas pemimpin di peringkat Pusat yang tidak disenangi ahli dan penyokong parti.

Mengenai calon, dua faktor yang perlu diberikan perhatian ialah di kerusi tertentu pengundi masih belum dapat menerima calon wanita dan juga calon ‘import’ dari luar kawasan.

Sebab itulah apabila Parti Keadilan Rakyat (PKR) bertindak menukar calonnya daripada Mohd. Jusoh kepada Eka Lisut, jentera BN termasuk dalam kalangan PH sendiri dikatakan tidak bersemangat untuk meneruskan perjuangan.

Walaupun beliau yang berasal dari Sarawak dikatakan pernah berkahwin dengan orang Terengganu, namun faktor calon wanita dan calon ‘import’ masih tetap dimilikinya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here