Anak muda Terengganu semakin ‘sejiwa’, sebati bersama PN

0
367

Oleh MOHD LAZIM ENDUT

KEMENANGAN besar Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 15 di Terengganu pada 12 Ogos lalu antara lain banyak dikaitkan dengan kehadiran pengundi luar dan juga golongan anak muda berusia 18 tahun yang baru pertama kali membuang undi.

Hal ini kerana golongan tersebut terutama mereka yang berada di perantauan dikatakan semakin ‘sejiwa’ dan sebati sebaik bersama PN.

Mereka bukan sahaja dilihat bersemangat setiap kali menyertai aktiviti PN, tetapi juga sanggup menyumbang tenaga secara sukarela demi perjuangan terhadap parti disanjungi.

Golongan ini turut dikatakan sentiasa memberi impak sangat besar terhadap aktiviti kepartian termasuk membabitkan majlis berbentuk ilmu khususnya ceramah-ceramah agama.

Perkara ini terbukti melalui Program Himpunan Bicara Murabbi Ummah Terengganu Sejahtera yang berlangsung di Dataran Jambatan Angkat Kuala Terengganu pada malam Jumaat lalu.

Dianggarkan lebih 50,000 pengunjung yang sebahagian besarnya terdiri daripada anak muda telah hadir pada program berkenaan.

Ia merupakan antara program terawal diadakan selepas PN berjaya membentuk Kerajaan Negeri Terengganu.

Selain itu program ini juga dianggap sebagai satu manifestasi kepimpinan negeri kepada rakyat. 

Justeru, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi menyifatkan kehadiran lautan manusia di Dataran Jambatan Angkat secara tidak langsung menyaksikan kecintaan rakyat  kepada alim ulama serta majlis-majlis berbentuk ilmu, sekaligus sebagai teras ke arah perjuangan untuk mendaulatkan syariat Islam secara menyeluruh di negeri ini.

Program ini diadakan bersempena Hari Kemerdekaan yang turut menjadi platform sangat penting membuktikan kecintaan rakyat khususnya anak muda kepada negara, agama dan golongan yang mendukung agenda Islam.

Begitulah anak-anak muda Terengganu yang kini dilihat semakin mesra dan ‘sejiwa’ ketika bersama PN diwakili Parti Islam SeMalaysia (Pas) dan juga Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Berdasarkan semangat itulah penganalisis dan pemerhati politik tempatan percaya gelombang PN khususnya gelombang hijau daripada anak-anak muda tersebut tidak terhenti dalam PRN15 sahaja.

Sebaliknya kebangkitan mereka akan terus berkekalan sehingga PRU16 dan juga pilihan raya selepas itu.

Malah kemenangan besar 32-0 yang diraih pada PRN15 kali ini dijangka terus berulang dengan pencapaian majoriti lebih besar lagi.

Mengikut rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Terengganu, dalam PRN15 lalu terdapat seramai 523,833 orang pengundi muda berdaftar yang layak membuang undi di Terengganu.

Daripada jumlah tersebut seramai 65,112 orang adalah berusia 18-20 tahun , 220,266 (21-29 tahun) dan 238,455 (30-39 tahun).

Banyak pihak berpendapat sebahagian besarnya telah berpihak kepada PN dan buktinya ialah menerusi peratus yang keluar mengundi serta pencapaian PN bermula dengan memenangi kesemua 8-0 kerusi
Parlimen di Terengganu dalam PRU15, pada19 November 2022.

Sokongan anak-anak muda itu semakin jelas terbukti apabila PN terus mengulangi kejayaan dengan memenangi kesemua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu dalam PRN15 12 Ogos lalu.

Berdasarkan laporan SPR yang mengatakan Terengganu merupakan negeri paling tinggi mencatatkan peratus yang keluar mengundi iaitu 75.79 peratus.

Maka ramai berpendapat kehadiran pengundi muda adalah antara faktor kemenangan besar PN dalam PRN15 kali ini.

Malah, ramai mengetahui sejak dari dahulu lagi anak- anak muda Terengganu dilihat begitu ‘sejiwa’ dan sebati dengan parti Pas.

Mereka merupakan golongan penyokong dan pengikut paling setia yang sanggup melakukan perjuangan sepenuh hati tanpa mengharapkan sebarang imbuhan.

Sepertimana kata Timbalan Pengerusi Satu PN Terengganu, Datuk Razali Idris sebelum ini yang menyifatkan penerimaan anak-anak muda Terengganu terhadap PN sebagai suatu perkembangan amat membanggakan.

Malah Razali yang juga Pengerusi Bersatu Terengganu pernah menyatakan penglibatan anak-anak muda yang pertama kali menjadi daftar pemilih bersama PN disifatkan sebagai satu fenomena baharu dalam dunia politik mutakhir di negeri ini.

Beliau begitu teruja apabila semakin ramai anak muda berusia 18 tahun mulai dekat dan mesra dengan PN di mana mereka sentiasa datang bertanya untuk membantu menjayakan setiap aktiviti secara sukarela tanpa meminta sebarang upah.

Akhirnya konsep tersebut kini terbukti berjaya diterapkan dalam PN Terengganu.

Dalam PRN15 pada 12 Ogos lalu PN berjaya mengekalkan pemerintahan di Terengganu setelah memenangi 32 kerusi DUN termasuk 10 kerusi kebal BN yang dimenangi dalam PRU14 pada Mei 2018 lalu.

Kerusi tersebut ialah Kuala Besut, Jertih, Hulu Besut, Langkap, Permaisuri, Batu Rakit, Seberang Takir, Telemung, Bukit Besi dan Kijal. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here