Kaji semula, tarik balik ‘pendakwaan terpilih’ – Hamzah

0
224

SETIAUSAHA Agung Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Hamzah Zainudin mahu Peguam Negara mengkaji semula semua pertuduhan jenayah yang dikenakan ke atas pemimpin gabungan itu.

Ini susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang melepas dan membebaskan bekas perdana menteri dan pengerusi PN Muhyiddin Yassin daripada empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk rasuah berjumlah RM232.5 juta bagi parti itu.

“Berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, saya juga mendesak peguam negara supaya menyemak dan mengkaji semula semua pendakwaan terpilih terhadap pimpinan Bersatu dan Perikatan Nasional untuk tujuan ditarik balik,” katanya dalam satu kenyataan yang turut dimuatkan di Facebook.

Kenyataan itu dikeluarkan sejurus selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan bekas perdana menteri itu.

Hakim, Muhammad Jamil Hussin memutuskan bahawa pertuduhan ke atas Muhyiddin adalah cacat, tidak berasas dan kabur serta tidak selaras dengan Kanun Tatacara Jenayah.

Menurut Hamzah, keputusan itu membuktikan kerajaan Pakatan Harapan-BN telah menyalahgunakan kuasa mereka untuk menyerang pemimpin PN dan menyeru rakyat supaya bangkit dan menolak pentadbiran persekutuan.

“Kezaliman serta dendam politik kesumat kerajaan PH-BN yang sengaja mencipta fitnah, mengada-adakan pertuduhan serta menyalahgunakan kuasa bagi mendakwa pemimpin Perikatan Nasional terbukti di mahkamah hari ini,” katanya, lapor MalaysiaKini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here