Bekas pegawai bank didakwa ubah suai had kad kredit tanpa kuasa

0
195

SEORANG bekas pegawai bank dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan mengubah suai had kad kredit miliknya antara April tahun lepas sehingga Jun lalu.

Tertuduh yang merupakan bekas Eksekutif Khidmat Pengesahan di Maybank , Abas Sulaiman, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Priscilla Hemamalini Nadarajan.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan niat telah melakukan capaian kepada sistem Kenaikan Had Kredit Kekal atau ‘Permanent Increase Credit Limit’ (PICL) dan telah menyebabkan pengubahsuaian tanpa kuasa terhadap sistem tersebut, lapor Utusan TV.

Pertuduhan itu didakwa dilakukan di Menara Maybank dekat Dang Wangi, Kuala Lumpur antara 25 April 2022 sehingga 24 Jun 2023.

Justeru tertuduh didakwa mengikut Seksyen 5(1) Akta Jenayah Komputer 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 5(4) akta yang sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau dijatuhkan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellyna Nor Azmal menawarkan jaminan sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam Md. Radzi Mustafa memohon jaminan minima dikenakan ke atas tertuduh memandangkan anak guamnya itu kini sudah tidak bekerja dan tiada punca pendapatan selain menanggung isteri dan empat lagi anaknya.

Hakim Priscilla kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah kemudian menetapkan 29 Ogos ini bagi sebutan semula dan serahan dokumen.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here