Jika Zahid enggan berundur, UMNO boleh ‘berkubur’!

0
222

BUKANLAH sesuatu yang mengejutkan apabila Dr.Ahmad Zahid Hamidi dilhat keberatan untuk meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO berikutan prestasi buruk parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Sabtu lalu.

Berdasarkan laporan The Star yang turut dipetik oleh Astro Awani dan Sinar Harian, Ahmad Zahid berkata,  beliau sedar wujud gesaan terhadapnya supaya meletak jawatan dalam parti susulan prestasi UMNO yang dilihat tidak memuaskan dalam PRN.

Mengaku “bertanggungjawab sepenuhnya” atas apa yang terjadi, beliau bagaimanapun tidak membuat sebarang kenyataan mahu berundur diri atau tidak, sebaliknya, beliau berikrar akan memperbaiki nasib UMNO dengan dibantu oleh kepimpinan parti. 

 “Saya sedar desakan itu (supaya berundur) wujud. Apa yang saya boleh janjikan ialah, saya dengan bantuan kepimpinan parti akan melakukan lebih banyak lagi untuk mendapatkan semula keyakinan rakyat. Kami akan meneliti pendekatan dan strategi kami. Kami akan guna pakai yang baharu, supaya kami boleh kembali memenangi hati dan minda pengundi,” katanya.

Malah Ahmad Zahid juga menegaskan, ini bukan kali pertama seseorang Presiden UMNO digesa untuk berundur.

“Ia pernah berlaku sebelum ini, termasuk kepada Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) dan juga kepada Datuk Seri Najib (Razak), apabila keputusan pilihan raya tidak memihak kepada kami,” katanya.

Selain itu, tambah Ahmad Zahid, kebertanggungjawaban terhadap prestasi parti yang lemah sewaktu PRN bukan hanya terletak di bahu beliau semata-mata, tetapi juga kepimpinan UMNO yang lain.

“Walaupun saya bertanggungjawab di atas keputusan pilihan raya, seperti yang (Datuk Seri) Johari (Abdul Ghani) tegaskan, ia sepatutnya menjadi tanggungjawab bersama kepimpinan UMNO,” katanya.

Ternyata sekali biarpun UMNO hanya memenangi 19 daripada 108 kerusi yang ditandinginya, Ahmad Zahid sepatutnya berundur secara terhormat sebagai Presiden UMNO tetapi keberatan untuk berbuat demikian.

Sudah dua pilihan raya iaitu PRU-14 dan PRN 6 negeri di bawah kepemimpinan Ahmad Zahid, UMNO dan BN mencatat keputusan buruk.

Sebaliknya beliau berasa bangga kerana dapat menumpang kuasa bersama Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri iaitu di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang. Tetapi PRN di enam negeri memberi mesej yang jelas, Ahmad Zahid sudah tidak layak lagi memimpin UMNO dan kini dilihat menjadi liabiliti pula kepada PH-BN.

‘’Zahid Hamidi perlu berjiwa besar melepaskan jawatan Presiden UMNO secara terhormat untuk tidak lagi menjadi liabiliti kepada BN-PH,’’  kata penganalisis politik, Kartini Aboo daripada Universiti Kebangsaan Malaysia kepada portal FMT.

Beliau berkata,  krisis dalaman UMNO susulan protes terhadap Ahmad Zahid, menyebabkan wujud undi sabotaj akar umbi parti itu sehingga memangkah Perikatan Nasional (PN) pada PRN Sabtu lalu

“Percaturan PH-BN ditolak oleh majoriti orang Melayu. UMNNO kini ibarat sudah jatuh ditimpa tangga,” katanya.

Justeru, katanya, Zahid perlu berjiwa besar dan sedia berkorban demi memulihkan UMNO dari dalam dengan berundur secara terhormat.

“UMNO perlu segera membuang toksin dalam parti, bersedia untuk melakukan reformasi dalaman dan memberi peluang kepada pemimpin baharu,” katanya sambil menambah Ahli Parlimen Sembrong Datuk Seri Hishammuddin Hussein mungkin mampu memikul “beban berat” itu.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar pula berkata sukar bagi UMNO bangkit sekiranya masih dipimpin Zahid yang kesannya dapat dilihat apabila parti itu kalah di 89 daripada 108 kerusi di PRN enam negeri.

“Ini menunjukkan wujud krisis keyakinan yang besar terhadap gaya kepimpinan Presiden UMNO itu,” katanya sambil dapatan badan penyelidik itu mendapati memang wujud perpindahan undi penyokong BN kepada PN atas faktor berkenaan.

Hisommudin berkata keputusan PRN jelas menunjukkan kuasa politik Melayu kini sudah berpindah tangan daripada UMNO kepada PN.

“Itu hakikat yang perlu diterima oleh UMNO sekarang. UMNO dan parti kerajaan hanya memperoleh sekitar 25% sokongan pengundi Melayu. Itu pun mujur datang dari Negeri Sembilan dan Melayu bandar di Selangor,” katanya.

Persoalannya kenapa, Ahmad Zahid masih bertegas untuk bertahan? Rekod apa yang beliau sandarkan untuk terus menjadi Presiden UMNO dan Pengerusi BN?

Hujah Zahid yang berjanji ‘’dengan bantuan kepimpinan parti akan melakukan lebih banyak lagi untuk mendapatkan semula keyakinan rakyat…’’ – ia hanya omong kosong.

Bukan soal pendekatan dan strategi UMNO tetapi soal kepemimpinan Zahid yang ditolak oleh rakyat, sebab itulah UMNO kalah dalam PRU dan PRN. Begitu juga apabila Zahid berkata, ini bukan kali pertama seseorang Presiden UMNO digesa untuk berundur.

“Ia pernah berlaku sebelum ini, termasuk kepada Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) dan juga kepada Datuk Seri Najib (Razak), apabila keputusan pilihan raya tidak memihak kepada kami,” katanya.

BETUL tetapi adakah Zahid bertindak seperti mana apa yang mereka lakukan. Zahid jangan lupa Pak Lah berundur dan serah jawatan kepada Najib ketika UMNO-BN bukannya kalah pilihan raya tetapi hanya hilang majoriti dua pertiga di Parlimen.

Najib pula meletakkan jawatan seleps UMNO-BN kalah dalam PRU-14 TETAPI Zahid terus mahu bertahan biarpun UMNO-BN sudah kalah PRU-15 dan kalah PRN 6 negeri.

Hujah bahawa kebertanggungjawaban terhadap prestasi parti yang lemah sewaktu PRN bukan hanya terletak di bahu beliau semata-mata, tetapi juga kepimpinan UMNO yang lain…adalah hujah dangkal.

Mungkin sahaja Zahid boleh bertahan dengan hujah itu melalui sokongan ‘pengampu-pengampu’ beliau dalam UMNO tetapi beliau jangan lupa yang menentukan nasib UMNO bukan pemimpin atau ahli UMNO sahaja tetapi rakyat keseluruhannya.

Jika Zahid terus berdegil dan mahu mempertahankan kedudukannya atas pelbagai alasan silakan sahaja tetapi bersedialah untuk UMNO ‘berkubur’ buat selama-lamanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here