10 faktor mengapa PN boleh menang Simpang Jeram

0
416

BARU-baru ini dua orang penganalisis politik yang selalu membuat kaji selidik mengenai kecenderungan pengundi dalam beberapa siri pilihan raya, membuat pemerhatian bahawa Pakatan Harapan (PH) akan kalah dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di Simpang Jeram pada 9 September ini.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) meramalkan akan ada suatu bentuk penolakan dalam kalangan pengundi Melayu terhadap kerajaan campuran PH-Barisan Nasional (BN) di kerusi itu. 

Menurut laporan MalaysiaNow, ia didorong oleh ketidakpuasan hati mereka terhadap situasi ekonomi semasa.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar juga bersetuju dengan Mazlan bahawa kedudukan PH di Simpang Jeram agak kritikal. 

PH boleh hilang kerusi berdasarkan trend sokongan pengundi dalam lingkungan usia 18 hingga 25 tahun kepada Perikatan Nasional (PN).

Menurut Hisommudin, sebab penolakan pengundi muda kepada Umno dan kerajaan campuran adalah kerana mereka masih mengangkat individu terkait rasuah sebagai pemimpin negara. 

Selain itu kerajaan campuran tidak berusaha bersungguh-sungguh menawan hati kelompok usia itu.

Selain dua sebab yang diberikan oleh Mazlan dan Hisommudin ini, terdapat lapan faktor lain yang boleh menjadi punca mengapa calon PAS, Dr Mohd Mazri Yahya yang mewakili PN mampu membuat kejutan mengalahkan calon Amanah, Nazri Abdul Rahman yang mewakili PH di Simpang Jeram.

Pertama, tiada apa-apa yang menakutkan untuk pengundi membuat perubahan di Simpang Jeram kerana keutuhan kerajaan negeri Johor masih selamat dengan majoriti lebih dua pertiga. 

Majoriti dua pertiga bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ialah 37 dan kerajaan sekarang mempunyai 40 daripada 56 kerusi.

Kedua, hujah PH perlu dipertahankan bagi mempertahankan kerajaan campuran tidak terpakai di Simpang Jeram kerana ia tidak wujud di Johor. 

Apa yang ada di Johor hanyalah kerajaan BN dan semua penjawat utama dalam kerajaan negeri Johor adalah dari BN. 

Ketiga, kerajaan negeri Johor juga terlalu kuat dan kekurangan fungsi semak imbang. 

BN sahaja sudah memiliki 40 ahli Dewan Undangan Negeri (Adun). 

Bila BN dan PH bergabung di peringkat pusat maka 12 Adun (sekarang tinggal 11) PH juga menjadi penyokong kerajaan (backbenchers). 

Ini menjadikan DUN Johor hanya ada empat orang wakil pembangkang sahaja, iaitu tiga dari PN, iaitu Dr Sahruddin Jamal di Bukit Kepong, Alwiyah Talib di Endau dan Abdul Aziz Talib di Maharani dan satu dari Muda, iaitu Amira Aisya di Puteri Wangsa.

Bila sesebuah kerajaan, termasuk kerajaan negeri Johor, menjadi terlalu kuat, maka ia bebas melakukan apa sahaja tanpa adanya semak imbang yang berkesan. 

Oleh itu, untuk menjaga kepentingan rakyat Johor, maka lebih bijaksana jika wakil pembangkang dalam DUN Johor ditambah.

Keempat, PAS pernah menang di Simpang Jeram (Sungai Abong) dalam Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 8 Mac 2008 dan PRU13 pada 10 April 2013 melalui calonnya Dr Sheikh Ibrahim Salleh yang juga merupakan seorang doktor perubatan. 

Sepanjang menjadi Adun, Sheikh Ibrahim memberikan khidmat cemerlang kepada segenap lapisan rakyat tanpa mengira kaum dan agama. 

Ini dijadikan bukti bahawa Mazri adalah penerus kesinambungan PAS dalam menyantuni pengundi bukan Melayu-Islam.

Kelima, Mazri wajar ditonjolkan atas kelayakan beliau sebagai pakar perubatan berprestasi tinggi dalam bidang pembedahan am, vaskular dan endovaskular dengan pengalaman berkhidmat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Hospital Sibu, Hospital Sarikei, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Pakar Regency, Hospital Pakar KPJ Johor dan di Royal Perth Hospital.

Pengalaman luas selama lebih 20 tahun di dalam bidang pembedahan saluran darah dan pembentukan tapak fistula meletakkan beliau sebagai pakar rujuk terkemuka dalam bidang tersebut di Malaysia selain membolehkan beliau menerbitkan buku “Hemodialisis dan Penjagaan Tapak Fistula”. 

Jika diberi ruang beliau mampu membantu bidang perubatan Johor dan Malaysia.

Keenam, Mazri tidak pernah melobi untuk menjadi calon dalam mana-mana pilihan raya. 

Persetujuan beliau untuk menjadi calon adalah semata-mata kerana kecintaan beliau dalam berkhidmat kepada masyarakat seperti yang beliau tunjukkan selama ini, termasuk yang dapat disaksikan melalui khidmat secara sukarela (pro bono) beliau di hospital kerajaan.

Ia juga terbukti melalui khidmat beliau semasa negara dilanda pandemik Covid-19 serta dilanda bencana alam banjir seperti di Kelantan, Selangor dan Johor melalui KHIDMAT Malaysia. 

Begitu juga sebagai sukarelawan di Gaza dan Syria pada tahun 2013 dan di Turkiye pada tahun 2023 manakala sebagai pengerusi Johor Baharu Prihatin beliau juga dikenali kerana memimpin usaha kebajikan menyantuni para gelandangan di sekitar Johor Bahru dan anak-anak golongan asnaf.

Pemimpin bersifat begini, yang hanya mempamerkan kecintaan untuk memberi khidmat bakti kepada masyarakat, serta yang telah mempunyai jawatan dan kedudukan kewangan yang teguh, sama sekali tidak mempunyai apa-apa kepentingan diri dan peribadi untuk dikejar melalui jawatan sebagai wakil rakyat sekali gus memastikan penyalahgunaan kuasa tidak akan berlaku.

Ketujuh, kemenangan Mazri adalah sesuatu yang baik untuk rakyat Johor seluruhnya kerana ia akan memberi peringatan kepada kerajaan negeri Johor untuk lebih cakna rakyat serta akan menjadikan setiap Adun BN dan PH bekerja lebih kuat dalam memberi perkhidmatan dan menjaga kebajikan rakyat bagi mengelakkan mereka juga kalah dalam pilihan raya akan datang. 

Kelapan, Mazri juga mempunyai personaliti yang menarik serta bakat kepimpinan yang tinggi. 

Beliau adalah seorang yang bersih dalam erti kata tidak mempunyai sebarang isu dan kontroversi yang boleh menyebabkan timbul keraguan ke atas diri beliau, baik dari segi amalan mahupun pertuturan beliau. 

Beliau juga disenangi oleh pengundi bukan Melayu-Islam.

Berdasarkan semua ini, bukanlah sesuatu yang mengejutkan jika Mazri akan benar-benar membuat kejutan dengan mengalahkan Nazri di Simpang Jeram pada 9 September ini.

* Mukhtaruddin Musa adalah mantan pensyarah kanan Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan SatuBerita.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here