PRK: Calon PN tepis dakwaan hanya fokus di DUN Simpang Jeram

0
256

CALON Perikatan Nasional (PN) Parlimen Pulai, Zulkifli Jaafar menegaskan tidak timbul isu bahawa gabungan itu hanya memberi fokus kepada kempen di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram berbanding di kerusi yang ditandinginya.

Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pulai itu berkata, gerak kerja jentera pilihan raya PN adalah seimbang di kedua-dua kerusi berkenaan.

Ini sekali gus menepis persepsi bahawa gabungan itu seolah-olah ‘tidak yakin’ untuk merampas kerusi Parlimen Pulai dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 9 September depan.

“Alhamdulillah pada saya sambutan sangat hangat sebab setiap tempat yang kita pergi semua mendapat sambutan (melibatkan semua pengundi) daripada pelbagai kaum.

“Sikit hambar itu saya rasa suara daripada belah sana (pihak lawan). Bagi kita tak ada (hambar).

“Kita ada banyak pasukan yang bergerak, kalau anda tengok sekarang ini kita buat ‘walkabout’ kan, tetapi banyak lagi pasukan (PN) yang bergerak sekarang,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Merdeka Festival di Pasaraya Perling, Johor Bahru hari ini.

Namun beliau tidak mahu terlalu yakin dan bergantung kepada ‘gelombang’.

Sementara itu, Zulkifli akan berusaha mengatasi isu peningkatan kos sara hidup yang menghimpit penduduk Parlimen Pulai, yang terletak di tengah bandar raya Johor Bahru.

“Perancangan awal saya (jika diberikan mandat) ialah akan melahirkan banyak usahawan atau pusat-pusat perniagaan untuk Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

“Ini bagi membantu mereka supaya mereka (dapat menampung kenaikan) harga barang dan cuba bawa suara mereka ke Parlimen untuk menstabilkan semula harga,” ujarnya, lapor Astro Awani.

PRK Parlimen Pulai menyaksikan saingan tiga penjuru antara Zulkifli, calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kayat, serta Samsudin Mohamad Fauzi yang bertanding sebagai calon Bebas.

PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan susulan kekosongan luar jangka di dua kerusi berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK bagi kedua-dua kerusi itu diadakan serentak dengan hari pengundian awal pada 5 September diikuti hari pengundian 9 September ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here