ISU berita palsu dan fitnah di negara ini boleh ditangani sekiranya sebuah suruhanjaya yang bebas dibentuk dan diberi kuasa bagi menangani isu berkenaan.
Menurut bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, sekiranya perkara itu dapat dilakukan, beliau percaya isu fitnah dapat dikendalikan tanpa campur tangan mana-mana pihak.
“Saya setuju dengan cadangan bahawa perlu ada satu suruhanjaya melihat isu ini, dan ambil tindakan cepat. Masalahnya, kalau saya boleh cakap, kalau nak bawa kes saman fitnah ke mahkamah akan ambil masa lama.
“Saya ada pengalaman dengan Perdana Menteri ke-10 (Datuk Seri Anwar Ibrahim). Walaupun saya tak fitnah beliau, tapi saya hentikan rayuan saya. Perkara itu dah diselesaikan tetapi ‘benda’ itu dah lapan, sembilan tahun,” katanya menerusi program podcast Keluar Sekejap bersama bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan, hari ini.
Ujar Khairy lagi, pengalamannya ketika menjawat jawatan menteri turut berdepan situasi sama apabila sering diserang dengan isu-isu yang telah dijawab.
“Saya sebagai seorang menteri banyak isu timbul dan banyak kali saya nafikan, tapi ia masih muncul. Takkan saya nak saman semua orang. Perkara ini perlu ditangani untuk kerajaan dan siapa jadi pemimpin, kalau tidak benda ini akan berulang dan ada orang percaya,” katanya lagi.
Terdahulu, Shahril dalam podcast yang sama mencadangkan agar suruhanjaya diberi tanggungjawab dalam menangani isu berita palsu dan kata-kata individu yang disifatkan sebagai fitnah perlu bebas daripada mana-mana pihak.
Ujarnya, menjadi masalah apabila ketetapan yang dibuat dalam mengklasifikasikan sesuatu berita itu palsu mahupun fitnah sekiranya suruhanjaya terbabit terikat dengan kerajaan sedia ada.
“Ini menjadi masalah kerana garisan itu tidak jelas (garis panduan), di mana ‘benda’ ini (sesuatu isu), adakah ia kritikan yang legitimate atau tidak. Yang membuat keputusan apakah definisi itu (berita palsu atau fitnah) satu pihak partisan, itulah masalahnya.
“Mungkin dalam kematangan demokrasi Malaysia yang lebih baik, boleh kita memikirkan satu suruhanjaya yang bebas memberikan keputusan, adakah ini berbentuk menghasut atau membawa masalah, dan perlu dibendung, atau adakah ini kritikan membina yang adil diberikan,” katanya, lapor Astro Awani.