MIC tidak anggap orang India ‘king maker’ dalam PRK Pulai

0
505

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

MIC tidak meranggap orang India sebagai ‘king maker ‘ dalam menentukan kemenangan mana-mana gabungan politik dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai pada 9 September ini.

Naib Presiden MIC, Datuk M. Asojan berkata, ini kerana terdapat faktor lain yang menjadi penentu terutama jumlah peratusan pengundi yang keluar mengundi nanti.

“Kita tidak boleh cakap macam itu secara terbuka sebab dia merujuk kepada peratusan keluar mengundi sebab ini PRK, pengundi (India) di Pulai tidak sama pengundi di KL atau Kedah (mereka tinggal dan pada masa sama juga kerja di KL dan Kedah) sebab ramai daripada mereka kerja di Singapura.

“Untuk Parlimen Pulai, jumlah pengundi India signifikan iaitu 12 peratus melibatkan 20,000 undi. Komposisi berkenaan kalau kita tengok trend keluar mengundi sekitar 60 peratus dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan 70 peratus dalam Pilihan Raya Umum ke-15.

“Ini merupakan PRK, biasanya jangka 60 peratus keluar mengundi, jadi akan sasar sekurang-kurangnya 50 peratus pengundi india keluar mengundi.

“Ini PRK jadi mereka mungkin fikir satu kerusi sahaja dan ada pengaruh ke? Jadi kalau mana-mana kaum tidak keluar undi boleh pengaruh keputusan, itu satu persoalan sukar dijawab,” katanya.

Beliau mengulas sama ada kaum India akan menjadi penentu dalam PRK Parlimen Pulai kerana orang Melayu dikatakan akan mengundi Perikatan Nasional (PN) manakala orang Cina akan mengundi Pakatan Harapan (PH).

Terdapat 167,108 pengundi di Parlimen Pulai dan daripada jumlah itu, 44.17 peratus adalah Melayu; 40.47 peratus Cina dan 12.30 peratus lagi India.

Terdahulu beliau mempengerusikan mesyuarat Persekutuan Persatuan-persatuan India Berdaftar Negeri Johor (Gappin) di Bangunan Dewan Perniagaan India, Larkin di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, Asojan berkata, Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran sudah jumpa jentera MIC di peringkat Parlimen Pulai serta DUN Simpang Jeram dan menyampaikan amanat supaya ahli parti menyokong calon PH.

MIC katanya, memberi jaminan ahli parti akan
memberi sokongan kepada calon PH dan BN pada PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram.

“Ini sebagai sokongan MIC kepada Kerajaan Perpaduan dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku PM (Perdana Menteri),” ujar beliau.

Menurutnya, atas kepercayaan itu jentera MIC sudah diarah bergerak ke pusat daerah mengundi (PDM) dalam kedua-dua PRK tersebut termasuk bergerak dari rumah ke rumah diikuti ceramah bagi memastikan pengundi India keluar beramai-beramai menyokong calon PH.

Dalam pada itu, beliau berkata, masyarakat India khususnya ahli dan penyokong MIC bersetuju dengan kerjasama politik menerusi Kerajaan Perpaduan kerana percaya dengan janji diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, Anwar yang juga merupakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu memberi tempoh masa selama setahun bagi melihat permasalahan serta isu yang membelenggu kaum itu di negara ini.

“Memang ada rasa tidak puas hati dalam beberapa perkara termasuklah isu baru-baru ini, ia memang menjadi keraguan dan kemusykilan dalam kalangan jentera MIC, namun Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran telah beri penerangan agar kita terus menyokong Kerajaan Perpaduan.

“Ini kerana janji yang diberikan oleh Perdana Menteri sendiri (kepada masyarakat India), beliau pastikan permasalahan dan perkara berbangkit berkaitan masyarakat India akan diambil kira, dia beri tempoh setahun jadi kita percaya janji beliau,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Biro Pendidikan MIC, Datuk R. Nelson berkata, masyarakat India perlu terus menyokong Kerajaan Perpaduan dengan mengundi calon PH dalam PRK ini.

“Kita undi bantu mereka menang, kemudian kita desak dia tunaikan janji-janji sebelum ini, apa yang kaum kita nak,” ujarnya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here