20 laporan kad pengenalan diguna individu lain untuk mengundi di Pulau Pinang

0
251

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

POLIS Pulau Pinang menerima sebanyak 20 laporan berkaitan nama dan kad pengenalan digunakan individu lain untuk mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) setakat ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, siasatan berhubung kes itu sedang berjalan dan tiada tangkapan dilakukan setakat ini.

Jelas beliau, kes itu disiasat mengikut Seksyen 7 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

”Insiden ini menyebabkan 20 pengundi tidak dibenarkan mengundi kerana maklumat peribadi mereka sudah digunakan pihak lain,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.

Dalam pada itu, tambah beliau, polis juga menerima sebanyak 87 laporan membabitkan pelbagai kesalahan berkaitan pilihan raya sepanjang tempoh berkempen bermula 29 hingga 12 Ogos lalu.

Daripada jumlah itu, katanya, polis membuka 42 kes dan dua kertas inkuari polis (KEP) yang mana kesemuanya masih dalam siasatan.

“Kes-kes lain yang dibuka siasatan termasuk melibatkan khianat iaitu merosakkan banting; bendera atau bahan kempen.

“Selain itu, kita juga membuka kertas siasatan membabitkan dua kes berkaitan 3R (bangsa, agama dan raja) dan kes membabitkan fitnah terhadap calon, curi bendera, ugutan dan cetak kertas undi,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here