SOP lombong REE di Kedah akan diumumkan

0
175

 KERAJAAN negeri akan mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan perlombongan unsur nadir bumi (REE) dalam masa terdekat bagi membolehkan aktiviti itu dijalankan di negeri itu selepas ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata SOP itu akan diumumkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri selepas kertas cadangannya dibentangkan pada mesyuarat sebelum ini.

“Datuk Setiausaha Kerajaan Negeri akan umum tidak lama lagi berkaitan SOP (perlombongan REE) ini,” katanya kepada pemberita melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Kedah di sini hari ini.

Berikutan itu, Muhammad Sanusi meminta semua polemik berkaitan perlombongan REE yang didakwa haram itu dihentikan segera.

“REE tidak haram, yang curi sudah ditangkap tetapi kita ikut prosedur jadi tak haram. Ada 59 lombong haram REE di seluruh negara sila pergi siasat di negeri lain bukan di Kedah.

“Jangan dok tuju kat Kedah sahaja. Ada 59 lombong REE di tempat lain, tak tanya pun mereka… pergi tanya MB (Menteri Besar) Perak, MB Pahang dan MB Negeri Sembilan,” katanya lapor BH.

Sebelum ini, media melaporkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan Kerajaan Persekutuan sudah mengeluarkan SOP perlombongan REE kerana kertas cadangan itu sudah dibentangkan pada mesyuarat Majlis Mineral Negara pada 8 Mei lalu.

Mesyuarat itu dihadiri ahli Majlis Mineral Negara iaitu Menteri Besar setiap negeri atau wakil kepada Menteri Besar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here