Dua beradik antara tiga ditahan dalam serbuan makmal dadah

0
252

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

DUA beradik antara tiga lelaki tempatan yang ditahan polis Pulau Pinang selepas dipercayai menjadi ahli sindiket memproses dan mengedar pelbagai jenis dadah termasuk heroin.

Kesemua mereka berusia 25 hingga 37 tahun itu ditahan dalam dua serbuan di Simpang Ampat, Seberang Perai Selatan (SPS) dan Taman Sejahtera, Seberang Perai Tengah (SPT) semalam.

Dalam serbuan itu, polis turut membongkar makmal haram memproses heroin di sebuah rumah teres dua tingkat dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM200,000.

Difahamkan, seorang suspek adalah pemilik kedai dobi manakala dua suspek lagi yang merupakan adik beradik adalah pengusaha bengkel lori dan pemandu lori.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, kesemua mereka ditahan dalam serbuan serentak kira-kira pukul 4.30 petang semalam.

Jelasnya, dalam serbuan itu, polis merampas sebanyak 30 bungkusan dadah jenis heroin seberat 13.5 kilogram bernilai RM184,800; dua kotak berisi 230 batang rokok dadah jenis ‘mushroom’ seberat 244 gram (RM13,800) dan serbuk kafein seberat 4.23 kilogram (RM1,400).

Selain itu, katanya, polis turut merampas pelbagai peralatan dan perkakasan untuk memproses dadah dan bahan kimia dipercayai untuk menghasilkan dadah.

‘Hasil risikan mendapati sindiket ini telah aktif memproses dan mengedar dadah sejak tiga bulan lalu untuk pasaran tempatan.

”Kita masih menyiasat sekiranya ada sindiket yang lebih besar berada di belakang mereka,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.

Menurut Kok Chin, hasil ujian air kencing mendapati kesemua tangkapan negatif dadah dan semakan mendapati dua suspek mempunyai rekod lampau kesalahan membabitkan jenayah dan dadah.

Jelasnya, kesemua tangkapan ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam pada itu, katanya, polis turut menyita enam buah kereta mewah antaranya jenis Alphard; BMW; Mitsubshi Triton serta barang kemas dengan jumlah sitaan RM690,680. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here