Polis tahan suami isteri bersama 51 ketul ganja mampat

0
419

POLIS menahan sepasang suami isteri dan merampas 51 ketulan mampat daun kering disyaki dadah jenis ganja seberat 51,634 gram bernilai RM160,000, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner (ACP) Zaidy Che Hassan berkata bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang telah melakukan operasi di sebuah rumah di kawasan Bandar Astana pukul 12.30 tengah malam.

“Suspek yang telah diekori baru tiba dari Kelantan selepas mengambil bekalan ganja untuk dihantar ke Perak.

“Hasil pemeriksaan menemui satu ketulan mampat dadah jenis ganja yang telah dibuka di dalam rumah dan pemeriksaan lanjut di dalam kereta kemudian menemui 50 lagi ketulan mampat dadah jenis sama di dalam bonet,” katanya dalam sidang media di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, di Sungai Petani, Kedah, hari ini.

Zaidy berkata, suspek lelaki itu adalah dalang dalam aktiviti pengedaran dadah dan aktif sejak April lalu.

Katanya, suspek menerima upah mengambil dan menghantar bekalan dadah jenis ganja dari negara jiran untuk diedarkan mengikut permintaan.

Hasil ujian saringan air kencing, suspek positif dadah manakala isterinya negatif.

Semakan turut mendapati suspek lelaki mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula 28 Ogos hingga 3 September depan.

Kes turut disiasat dibawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here