Arahan pengusiran: Penduduk Gombak mohon campur tangan Amirudin sebagai Menteri besar

0
152

KIRA-kira 20 penduduk Kampung Sri Makmur, Taman Sri Gombak, Gombak sekali lagi memohon Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari campur tangan berhubung satu lagi arahan pengusiran penempatan setinggan bagi memberi laluan kepada sebuah projek kondominium.

Dalam bantahan di luar pekarangan bangunan Sultan Sallahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), di Shah Alam, pagi ini, mereka menyerahkan  memorandum kepada pegawai khas Amirudin, Shahril Said.

“Ini kali ketiga kita berada di luar bangunan ini meminta  Amirudin keluar berjumpa.

“Kita bukan datang meminta wang, kita hanya mahu dia memahami masalah kita dan membantu kita,” kata Pengerusi Persatuan Perantau Sri Makmur, Noora Mustafa kepada pemberita.

Penduduk mula menerima notis pengusiran pada 2019, yang mendorong mereka menyerahkan memorandum pertama kepada menteri besar pada Mac dan Oktober tahun lalu.

Susulan itu, notis kedua dikeluarkan pada 18 Ogos dengan perintah mahkamah mengarahkan penduduk supaya mengosongkan tanah itu sebelum 31 Ogos.

Noora berkata, memorandum yang diserahkan hari ini mengandungi tuntutan yang sama seperti sebelum ini.

Penduduk memohon dua pilihan; dibenarkan berpindah ke kawasan sama jika harga unit projek kondominium itu bernilai bawah RM150,000, atau mereka disediakan penempatan semula ke Rumah Pangsa Sri Temenggong di bawah inisiatif Rumah Selangorku.

Foto MalaysiaKini

Selain itu, mereka memohon kebenaran untuk tinggal di kawasan itu semasa pembinaan projek atau diberi  pampasan RM700 bagi setiap keluarga sehingga projek itu siap.

Menurut penduduk, memandangkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) adalah pemilik tanah dan juga pemaju projek, mereka menggesa menteri besar supaya berunding dengan PKNS untuk menangguhkan proses pengusiran.

“Kita faham PKNS ada hak mengusir kita. Kita telah pun ke mahkamah tentang perkara ini tetapi sekurang-kurangnya biarlah kita tinggal hingga masalah  perumahan kami diselesaikan.

“Walaupun mereka (PKNS) ada menawarkan pilihan perumahan kepada kita, harganya lebih daripada  kemampuan kita, dan pendapatan kita yang terhad menghalang kita daripada layak mendapatkan pinjaman.

“Tetapi, jika menteri besar boleh pindahkan kita ke rumah pangsa Sri Temenggong, kita rela membayar sewa. Saya ingin jelaskan bahawa kita bukannya meminta perumahan percuma,” tegas Noora.

Menurut penduduk, terdapat 72 keluarga yang menghuni di Kampung Sri Makmur yang sebahagian mereka telah menetap di situ sejak 1989.

Dalam nada yang sama, Timbalan Presiden PSM S Arutchelvan yang hadir pada bantahan itu menegaskan memandangkan penduduk patuh terhadap pengusiran, Amirudin seharusnya menghulurkan bantuan kepada mereka.

“Bukan mudah untuk mencari rumah sekarang, lebih-lebih lagi mereka (penduduk) bukan bergaji besar. Kebanyakan mereka adalah veteran atau berasal dari keluarga yang mempunyai latar belakang tentera.

“Saya harap dia (Amirudin) dapat membantu, tidak adil bagi penduduk (tidak dipindahkan ke perumahan yang sepatutnya),” katanya, lapor MalaysiaKini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here