Tun M jangka PN kekal di Kedah, Kelantan, Terengganu

0
166

 TUN Dr Mahathir Mohamad yakin Perikatan Nasional (PN) mampu mengekalkan kerajaan negeri di Kedah, Kelantan dan Terengganu, selain masih berpeluang menang di Selangor dan Negeri Sembilan.

Bekas Perdana Menteri berkata, masalah timbul apabila parti dan calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini tidak dibenarkan bercakap mengenai isu berkaitan 3R (agama, kaum dan raja).

Dakwanya, larangan itu adalah melanggar undang-undang kerana tidak ada undang-undang yang menghalang orang ramai daripada bercakap mengenai perkara berkenaan.

“Saya yakin di Kedah Perikatan Nasional (PN) boleh menang lagi, tapi yang jadi masalah ialah larangan bercakap 3R, ini tak ikut undang-undang.

Tak ada undang-undang yang kata tak boleh bercakap tentang 3R, kalau tak boleh ia patut dijadikan sebahagian undang-undang.

“Rakyat tiba-tiba diberitahu tak boleh cakap pasal masalah dia sendiri, ini tidak adil. Lepas itu ada ugutan kalau bercakap kononnya akan batal pencalonan, ini ugutan, ini bukan cara demokratik.

“Dulu tak pernah buat macam ini, dulu kita nak undi tak ada sekatan tentang apa kita suarakan, kita bebas. Tapi tak ada lagi kebebasan kerana 3R tak boleh disebut. Kenapa tidak? Ada undang-undang kah?,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengundi bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Anak Bukit di Sekolah Kebangsaan Titi Gajah, Kepala Batas, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, sekiranya Pakatan Harapan (PH) kalah di banyak kerusi di enam negeri yang mengadakan PRN, ia boleh dianggap sebagai penolakan rakyat kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya fikir juga ada peluang di Kelantan dan Terengganu dapat kepada PN, tapi di Selangor dan Negeri Sembilan masih ada peluang, tapi Pulau Pinang agar sukar tak banyak kawasan PN boleh menang.

“Tak tahu (boleh ubah kerajaan Pusat) tapi ia menghantar satu mesej kepada kerajaan Pusat iaitu pendirian rakyat, jadi kita tengok kalau PH kalah dia patut ambil berat tentang penolakan kerajaan PH ini oleh rakyat.

“Kalau di peringkat negeri berlaku (penolakan), ada kemungkinan peringkat Pusat berlaku. Tapi kita harus ingat dulu UMNO menang di Melaka dan Johor, tapi kalah teruk di seluruh negara, jadi tak boleh ambil itu sebagai petanda yang tepat,” katanya menurut BH.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here