Abdul Hadi: Pertukaran MB Kelantan, timbalannya kerana mahu semangat baharu

0
142

PRESIDEN PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang (gambar) berkata keputusan untuk menukar Menteri Besar Kelantan dan timbalannya jika PAS diberikan mandat mengekalkan pentadbirannya selepas Pilihan Raya Negeri (PRN), dibuat kerana inginkan semangat baharu di negeri itu.

Beliau berkata pertukaran dua pemegang jawatan itu telah mendapat persetujuan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan Timbalannya Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

“Menteri besar (Ahmad) mengundurkan diri kerana uzur. Bahkan dahulu dia merayu supaya tidak dilantik (sebagai menteri besar) tetapi kita minta lagi. Memang beliau keuzuran dan kena jalani rawatan, jadi kali ini kita pertimbangkanlah.

“Kita juga mahu supaya ada semangat baharu di Kelantan, mahu ada perubahan. Sebab itu timbalan (timbalan menteri besar) juga diubah,” katanya kepada pemberita selepas selesai mengundi bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Ru Rendang di Sekolah Kebangsaan (SK) Rusila di sini hari ini.

Menafikan wujudnya desakan atau isu yang mendorong kepada pertukaran penyandang kedua-dua jawatan itu, Abdul Hadi berkata beliau yakin kedua-dua calon baharu menteri besar dan timbalannya itu nanti akan mendapat perkenan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V dan diterima rakyat.

Sementara itu, di KOTA BHARU, Mohd Amar berkata Presiden PAS akan menentukan siapa calon yang bakal dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan, jika mandat keputusan PRN memihak kepada parti itu.

Ditemui pemberita selepas selesai mengundi di SK Panji, beliau berkata kebiasaannya Presiden PAS akan memberikan nama calon kepada Pesuruhjaya PAS Negeri untuk dipersembahkan kepada Sultan Kelantan bagi mendapat perkenan.

Semalam, Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam kenyataan berkata kerajaan Kelantan yang ditadbir PAS dijangka memiliki gabungan Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar yang baharu selepas PRN ini.

Takiyuddin berkata gabungan kepimpinan baharu yang akan dikemukakan itu adalah seorang tokoh agamawan dan seorang tokoh teknokrat, tertakluk kepada mandat rakyat dan perkenan Sultan Kelantan.

BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here