Sanusi sedia hadapi Amirudin di mahkamah

0
121

MENTERI Besar Kedah Datuk Seri Sanusi Nor berkata, beliau bersedia berdepan Datuk Seri Amirudin Shari di mahkamah selepas ketua PKR Selangor itu menuduh pemimpin PAS itu memfitnahnya ketika majlis Perikatan Nasional (PN) pada Rabu.

Ketika ditanya sama ada beliau akan memberikan respons terhadap dakwaan menteri besar Selangor itu di mahkamah, Sanusi menjawab: “Saya akan berbuat demikian jika perlu.”

Bagaimanapun, katanya, beliau masih belum menerima sebarang notis undang-undang daripada Amirudin mahupun peguamnya.

“Saya masih tunggu dokumen yang dimaksudkan,” katanya kepada FMT.

Semalam, Amirudin berkata, beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Sanusi kerana didakwa memfitnahnya dalam ceramah Perikatan Nasional (PN) di Jitra, Kedah.

Sanusi ketika Jelajah Mega PN Best “Sayangi Kedah Sejahtera” di Dataran Darul Aman, Jitra, pada Rabu mendakwa wujud skandal antara Amirudin dengan pengasas Berjaya Group Vincent Tan yang kononnya mahu melaksanakan projek RM10 bilion di Sungai Klang.

Sebagai timbal balas, taikun itu akan mendapat tanah 600 ekar di Selangor yang dijangka merugikan kerajaan negeri sekitar RM180 juta.

Amirudin yang menafikan dakwaan tersebut berkata, perkara tersebut telah beliau perincikan secara panjang lebar pada sidang DUN serta Parlimen.

Sanusi mempersoalkan bagaimana Tan diberi “600 ekar secara percuma” dan mendakwa taikun itu juga “mengambil alih 55% MBI Selangor”, lapor Harakah Daily.

Pengarah pilihan raya PN itu juga mendakwa ahli perniagaan merompak sumber asli Selangor, sambil menambah PN tidak akan bersetuju dengan mana-mana “projek yang melibatkan taikun”.

Semalam, Berjaya Land berkata, pihaknya akan membuat laporan polis dan “mengambil tindakan undang-undang” berhubung dakwaan Sanusi yang dibuat secara “melulu dan berniat jahat”.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here