Ismail persoal kewajaran akta baharu tangani 3R, jaminan kebebasan bersuara

0
111

BEKAS perdana menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempersoalkan kewajaran memperkenalkan undang-undang membabitkan agama, kaum dan institusi diraja (3R) seperti diumumkan Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau turut mempersoalkan adakah undang-undang itu akan menjamin kebebasan bersuara dan tiada manipulasi oleh pemerintah.

“Undang-undang baharu ini dibimbangi akan mengikat kebebasan bersuara, khususnya pihak media bagi memberi laporan terbaik kerana mereka mata dan telinga rakyat untuk kerajaan mentadbir dengan lebih baik.

“Pun begitu, harus diakui beberapa akta seperti Akta Media dan Cetak 1984 serta beberapa seksyen dalam Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 perlu dilihat kembali,” tulisnya dalam kolum Utusan Malaysia.

Bulan lalu, Azalina dilaporkan berkata, kerajaan sedang mengkaji untuk menggubal akta baharu, yang mungkin dinamakan Akta Negara dan Bangsa, bagi menghukum pihak mempermainkan isu 3R.

Ismail berkata, dalam pertemuannya dengan pengamal media baru-baru ini, mereka membangkitkan isu berkaitan kebebasan bersuara.

Ahli Parlimen Bera itu berkata, media yang memainkan peranan “estet keempat” tidak boleh lagi dikongkong kerana hampir semua pihak mempunyai akses kepada media sosial, dengan maklumat disebar amat pantas.

“Saya percaya pengamal media memiliki self censorship dalam isu-isu sensitif demi memastikan keamanan negara.”

Beliau berkata, kerajaan juga perlu bersedia menghadapi ledakan digital, khasnya melalui media sosial yang menyebabkan wujudnya golongan seperti pempengaruh dan laskar siber.

Sebelum 2018, katanya, ada pihak menggunakan laskar siber menyerang kerajaan, namun tiada tindakan dikenakan terhadap mereka, berbeza dengan sekarang yang menyaksikan pengguna media sosial disekat kerana tidak sealiran dengan kerajaan.

“Tindakan ini mengongkong hak dan kebebasan bersuara dan tidak wajar sama sekali. Sekiranya wujud unsur fitnah atau tohmahan sehingga mengancam ketenteraman awam, heret individu terbabit ke muka pengadilan melalui undang-undang sedia ada.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here