Polis Selangor buka kertas siasatan Fahmi berucap dalam masjid di Rawang

0
160

POLIS Selangor menjalankan siasatan berhubung gambar tular Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berucap di ruang solat utama Masjid Nurul Yaqin, Kampung Melayu Seri Kundang, Rawang, kelmarin.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, pihak polis sudah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung kejadian itu.

Kata beliau, pihaknya sudah mendapatkan rakaman ucapan dalam masjid berkenaan dan akan menelitinya untuk siasatan lanjut.

“Kita akan beri maklum balas serta perkembangan mengenai kes terbabit dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis Perbarisan Ulang Tahun Polis Bantuan ke-7 Sime Darby Property Berhad di Padang Kawad Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang, hari ini, lapor Berita Harian.

Semalam, media melaporkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menjalankan siasatan berhubung gambar berkenaan yang tular dalam media sosial.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad dilaporkan berkata, pihaknya ada menerima aduan berhubung perkara terbabit.

JAIS turut menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 12 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 kerana disyaki menghina pihak berkuasa agama.

Sementara itu, Fahmi menafikan beliau menggunakan masjid untuk berkempen sebaliknya singgah untuk solat Zohor sahaja di masjid itu kerana berdekatan dengan lokasi program seterusnya.

Beliau kemudiannya dijemput oleh kariah masjid untuk ulas sedikit isu kumpulan muzik The 1975.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here