Hamzah: Polis lepas rakam ceramah, beritahu keluarga sokong PN

0
197

BEKAS Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menggesa anggota polis yang bertugas sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) supaya mempromosikan Perikatan Nasional (PN) dalam kalangan ahli keluarga mereka.

Setiausaha agung PN itu berkata, anggota terbabit juga boleh mengambil kesempatan dengan mendengar tawaran yang bakal diberikan gabungan parti pembangkang itu demi kestabilan negara.

“Saya nak bagi tahu polis yang dengar ini (ceramah), kerja dia bukan sahaja ‘tangkap’ apa yang kita ucap, dia juga kena ingat dalam hati kena jaga masa depan anak bangsa.

“Jadi, bila dengar ucapan jangan rakam sahaja, dengar sekali. Macam kita…kita ucap, dengar balik dan buat kerja.

“Begitu juga mereka…berita kepada anak-anak, keluarga dan sahabat handai, kerajaan yang lebih baik adalah kerajaan PN,” kata Hamzah ketika berucap pada Program Himpunan Jentera N.03 Sungai Panjang di Markaz Tarbiah PAS Smpang Lima, Sungai Besar, malam tadi.

Mengakhiri ucapannya, bekas menteri dalam negeri itu meminta penyokong yang hadir supaya berdiri sebelum meminta anggota polis yang berada pada majlis terbabit mengambil gambar mereka dan menunjukkan kepada perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Polis, ambil gambar mereka. Tunjukkan kepada PM, mereka (rakyat) sudah bangkit,” katanya lapor Malaysiakini.

Pada 24 Julai lalu, Hamzah yang juga ketua pembangkang yang mendakwa dia menerima maklumat berkenaan PRN akan datang daripada “sahabat-sahabatnya dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM)” yang PN sebenarnya mendahului di Selangor.

Ia berbeza dengan dakwaan menteri besar sementara Amirudin Shari bahawa PH menikmati tahap sokongan yang lebih tinggi.

Seramai 40,000 anggota dan pegawai polis akan ditugaskan bagi mengawal keselamatan dan kelancaran Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini berkata, jumlah berkenaan membabitkan anggota dan pegawai di negeri terbabit serta bantuan dari negeri-negeri lain.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Ogos sebagai hari pengundian bagi PRN iaitu di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here