Hina gambar PM sama seperti hina Agong, kata pengarah pilihan raya PKR Selangor

0
232

PENGARAH pilihan raya Pakatan Harapan (PH) Selangor mengkritik pelaku yang merosakkan poster mengandungi imej Perdana Menteri Anwar Ibrahim, dengan mengatakan ia sama seperti menghina Yang di-Pertuan Agong.

Mohd Yahya Mat Sahri, yang juga calon PH di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini, ditanya mengenai beberapa insiden yang menyaksikan poster perdana menteri dirosakkan.

“Itu adalah gambar perdana menteri, jadi kita harus menghormatinya,” katanya pada sidang media di Tanjong Karang hari ini.

Beliau berkata Anwar mengangkat sumpah perdana menteri di hadapan Agong, sambil menambah bahawa salah satu teras dalam Rukun Negara ialah kesetiaan kepada raja dan negara.

“Kalau kita hina gambar perdana menteri, sama kita hina Yang di-Pertuan Agong,” katanya lapor Malaysianow.

“Jadi ini penting, jangan kita ambil langkah itu,” katanya, sambil menambah bahawa mereka yang merosakkan poster perdana menteri harus insaf.

Terdahulu, sepanduk besar yang memaparkan imej Anwar dan slogan “Malaysia Madani” dipasang di pekan dan bandar di seluruh negara, beberapa hari sebelum kempen rasmi untuk PRN bermula Sabtu lepas. 

Terdapat beberapa contoh sepanduk dirosakkan, dengan polis melancarkan siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan khianat.

Pencalonan Yahya juga diselubungi kontroversi kerana beliau sebelum ini disabitkan bersalah kerana menipu.

Pada 2016, beliau dijatuhi hukuman penjara dua tahun kerana menipu ahli perniagaan Abdul Karim Munisar berhubung derma RM50,000 untuk menaja sebuah acara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here