PRN: Mampukah Pas Terengganu kikis, buang ‘badi’ kerajaan sepenggal?

0
255

Oleh MOHD LAZIM ENDUT

IMEJ dan dakwaan kerajaan sepenggal yang seringkali dikaitkan dengan Parti Islam seMalaysia (Pas) seakan sebagai satu ‘badi kepada parti tersebut ketika berjaya memerintah Terengganu.

Hal ini kerana, dalam beberapa siri pilihan raya sebelum ini, pentadbiran kerajaan negeri silih berganti di mana sudah berulang kali Pas hanya berjaya membentuk kerajaan dalam tempoh sepenggal pilihan raya sahaja ekoran tewas semula dalam pilihan raya berikutnya.

Persoalannya, apakah ‘badi’ ini akan terus menghimpit parti berkenaan ketika berhadapan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini?

Atau adakah ‘badi’ tersebut berjaya dikikis atau dibuang memandangkan Pas kini berada di bawah gabungan Perikatan Nasional (PN) bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan juga Gerakan untuk membolehkan mereka terus kekal memerintah Terengganu?

Justeru, ramai yang bertanya mampukah perkara ini dapat direalisasikan?

Bagi penganalisis dan pemerhati politik tempatan rata-ratanya menyifatkan PRN kali ini merupakan peluang terbaik bagi Pas membuang ‘badi’ yang selama ini dikatakan sentiasa membelenggu parti itu dengan imej dan dakwaan sekadar menjadi kerajaan sepenggal dalam sejarah pilihan raya di negeri ini.

Berdasarkan sejarah itulah Pas kini dilihat sentiasa bersungguh-sungguh mempertahankan kemenangan dicapai pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tahun 2018 lalu sekaligus ingin membuang ‘badi’ imej kerajaan sepenggal.

Malah, kemenangan itu amat penting bagi memastikan Pas dan PN kekal menerajui pentadbiran kerajaan negeri Terengganu bagi penggal kedua berturut-turut.

Mengimbas semula sejarah, Pas hanya menang sepenggal sahaja pada tahun 1959 hingga 1961 diikuti 40 tahun selepas itu, Pas menang semula pada tahun 1999 hingga 2004, sebelum kalah lagi dan menang semula pada tahun 2018, iaitu ketika PRU14 lalu.

Melihat kepada pencapaian dan kemenangan besar Pas yang berjaya menawan kesemua lapan kerusi Parlimen di negeri ini pada PRU15, 19 November tahun lalu, banyak pihak percaya parti berkenaan bersama PN kali ini mampu membuang terus ‘badi’ dan imej kerajaan sepenggal yang dikaitkan pelbagai pihak.

Sebab itulah, kepimpinan Pas Terengganu kini sedang bertungkus lumus untuk memastikan kemenangan besar PN dalam PRN nanti.

Selain mencari strategi terbaik, Pas juga berhati-hati dalam menampilkan calon bertanding di setiap kerusi DUN ditetapkan.

Sepertimana kata Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sebelum ini memaklumkan bahawa PN menampilkan calon berwibawa dan berkaliber dalam pelbagai bidang, sekaligus boleh menang pada PRN kali ini.

Malah, beliau turut menyatakan keputusan mengenai pemilihan calon itu dibuat berdasarkan pertimbangan terhadap beberapa faktor iaitu melibatkan status quo, kekuatan jentera serta berpotensi dan berwibawa.

Sementara itu, Setiausaha Pas Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah juga pernah berkata, pihaknya yakin akan dapat mengekalkan kemenangan dua penggal berturut-turut, sekali gus mampu mencipta rekod baharu pemerintahan parti itu di negeri ini.

Malah, Wan Sukairi turut menaruh keyakinan bahawa parti itu mampu meraih kemenangan besar melibatkan kesemua 32 kerusi DUN di negeri ini dalam PRN nanti.

Keyakinan itu berdasarkan pencapaian diraih dalam PRU15 lalu apabila PN memenangi kesemua lapan kerusi Parlimen di Terengganu.

Muslimat Pas pula meminta kesemua ahli dan penyokong parti dapat Pertahankan Kemenangan bagi memastikan Pas bukan lagi dikatakan sebagai kerajaan sepenggal.

Sehubungan itu, Ketua Jabatan Pilihan Raya Muslimat Pas Parlimen Dungun (JPrMPD), Rugayah Mahmood meminta agar golongan muslimat mempertingkatkan gerak kerja bagi mempertahankan kemenangan sedia ada.

Ia perlu bagi memastikan Pas tidak lagi dikaitkan dengan dakwaan dan imej kerajaan sepenggal oleh sesetengah pihak.

Dalam pada itu, Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said pula pernah menyatakan tidak mustahil parti itu berjaya menawan semula Terengganu.

Kenyataan itu dibuat berdasarkan politik di negeri ini sentiasa berubah-ubah di mana rekod
kerajaan yang memerintah kerajaan negeri sentiasa bersilih ganti di antara UMNO dan Pas.

Sehubungan itu ujarnya, walaupun UMNO kalah teruk pada PRU15, namun tidak mustahil parti itu akan kembali menjadi kerajaan selepas PRN nanti.

Pada PRU14 lalu, Pas berjaya memerintah Terengganu apabila memenangi 22 daripada 32 kerusi yang dipertandingkan.

Kerusi tersebut ialah DUN Bandar, Ladang, Batu Burok, wakaf Mempelam, Rhu Rendang, Alur Limbat, Bukit Payong, Pengkalan Berangan, Rantau Abang, Sura, Paka, Bukit Tunggal, Manir, Tepoh, Buloh Gading, Kota Putera, Jabi, Chukai, Kuala Berang, Air Putih, Ajil dan Kemasik.

Sementara BN pula hanya menang di 10 kerusi iaitu Seberang Takir, Kijal, Telemung, Hulu Besut, Bukit Besi, Jertih, Langkap, Batu Rakit, Kuala Besut dan Permaisuri. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here