PRN: PN Selangor yakin menang majoriti mudah 29 kerusi DUN

0
137

PERIKATAN Nasional (PN) Selangor yakin dapat menang majoriti mudah di 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor memasuki hari ketiga berkempen.

Menurut Setiausaha Badan Perhubungan Bersatu Selangor, Datuk Azman Yaakob, keyakinan itu bersandarkan sokongan yang diterima gabungan itu daripada komuniti masyarakat India di 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.

“Kita berkeyakinan melepasi 29 kerusi DUN iaitu majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan pada 12 Ogos ini.

“Insya-Allah kita lihat komuniti India sudah positif cenderung kepada arah PN,” jelasnya.

Sementara itu, Setiausaha Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata ia melibatkan 16 kerusi DUN di bawah enam Parlimen yang dimenangi PN dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

“Kita sekarang memiliki enam kerusi Parlimen di kawasan luar bandar, di situ sahaja ada 16 kerusi DUN majoriti Melayu yang (kita) akan menang.

“Selain itu, kita akan berikan saingan sengit di DUN Kuala Kubu Bharu di bawah Parlimen Hulu Selangor yang kita menang.

“Juga DUN Sekinchan yang mana Parlimen Sungai Besar yang kita menang,” katanya.

Tambah Roslan Shahir, ketika ini gelombang kebangkitan undi Melayu dilihat terarah kepada PN berbanding Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

“Itu satu indikator terbaik untuk kita, kita dah separuh jalan. Yang lain-lain kita menjangkakan di kawasan-kawasan Pas dan Bersatu pernah menang.

“Kita juga mendapat dapatan kajian tentang kebangkitan, gelombang undi orang Melayu.

“Kalau dahulu undi Melayu terhad di ‘Malay Belt’ dari Kuala Langat, Sepang ke Sungai Besar, sekarang undi Melayu di tengah-tengah Lembah Klang.

“Kalau gelombang meningkat di Lembah Klang, tidak mustahil kita capai 29 kerusi DUN,” katanya lagi lapor Astro AWANI.

Mereka berkata demikian dalam sidang media khas pengenalan calon PN di Shah Alam pada Isnin.

Sejumlah 147 calon bertanding merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Selangor.

Daripada jumlah itu, 44 calon mewakili Pakatan Harapan (PH), 12 mewakili Barisan Nasional (BN), 56 daripada Perikatan Nasional (PN), 14 daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), empat mewakili Parti Sosialis Malaysia (PSM), enam mewakili Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan satu mewakili Parti Utama Rakyat (PUR) manakala 10 adalah calon Bebas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here