Syahir masih tunggu surat Rafizi ajak debat

0
183

AHLI Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman masih menunggu surat pelawaan daripada Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli untuk berdebat dengannya mengenai hal ehwal ekonomi.

Mohd Syahir yang juga Penolong Setiausaha Agung PAS berkata, dia berada di Bachok dan sedia menunggu surat itu sampai kepadanya.

“Patutlah saya batuk-batuk sejak semalam, rupanya ada orang jauh sebut nama saya.

“Saya ada di Bachok sekarang, tengah tunggu surat itu (pelawaan Rafizi untuk berdebat) sampai,” katanya menerusi status dimuat naik di Facebooknya, lapor BH Online.

Rafizi yang juga Menteri Ekonomi dikatakan beralih arah dengan mencabar Mohd Syahir untuk berdebat dengannya mengenai hal ehwal ekonomi, selepas cabaran berdebat itu ditolak bekas Menteri Kanan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Susulan itu, Rafizi berkata, beliau akan menulis secara rasmi kepada Mohd Syahir dan akan menunggu untuk mendapatkan maklum balas daripadanya.

Katanya, beliau akan terus meminta untuk berdebat dengan wakil Perikatan Nasional (PN) kerana budaya seperti ini perlu dibawa demi pembaharuan negara.

Pada entri di Facebooknya itu, Mohd Syahir turut memberi pantun empat kerat yang ditujukan kepada Rafizi iaitu:

“Pulau Pandan jauh ke tengah, Gunung Daik bercabang tiga, hancur badan dikandung tanah, janji yang baik dikenang juga,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here