Calon PN Dun Rantau tak gentar jumpa Tok Mat

0
172

CALON Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Rozmal Malakan akui berdepan tugas mencabar dalam misinya untuk melakar kejutan di kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.

Ini berikutan, beliau yang bertanding buat kali pertama berhadapan dengan tokoh politik berpengalaman yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan penyandang kerusi itu, Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Tidak dinafikan ia cabaran besar namun sudah diamanahkan parti untuk berjuang di DUN Rantau.

“Saya yakin peluang (untuk menang) memang ada, namun akan bergantung kepada jentera parti dan jika dapat yakinkan pengundi sehingga 50 peratus, Insya-Allah (boleh menang).

“Saya lebih suka bekerja secara profesional, dulu saya pengurus kualiti kilang yang membabitkan kakitangan pelbagai kaum dan kami boleh bekerja sebagai satu pasukan serta terima semua pandangan orang untuk mentadbir secara bersama,” katanya ketika ditemui di Rantau, semalam.

Rozmal, yang juga Timbalan Yang Dipertua PAS Rembau juga akui pihaknya tidak mengharapkan semata-mata kepada gelombang kebangkitan sokongan kepada PN seperti yang diuar-uarkan kebelakangan ini.

Sebaliknya, beliau berkata, pihaknya perlu bekerja keras untuk menemui seramai mungkin pengundi di DUN Rantau.

“Gelombang itu ada, tapi kita tidak boleh berharap gelombang semata-mata, sebagai calon kita kena turun meyakinkan pengundi,” katanya, lapor BH Online.

Mengenai isu yang akan dijadikan modal kempen PRN, mantan Pengerusi Yayasan Amal Malaysia Cawangan Negeri Sembilan itu berkata, banyak isu akan diketengahkan terutama berkaitan kehidupan rakyat ketika ini.

“Antaranya ialah membabitkan kos sara hidup rakyat dan kemajuan serta pencapaian Negeri Semblan yang masih ketinggalan,” katanya turut menggunakan sosial media seperti Tik Tok sebagai alternatif berkempen.

Rozmal, 58, anak jati Rembau yang berpengalaman luas dalam bidang pengurusan korporat.

Untuk rekod, DUN Rantau mempunyai seramai 32,890 pengundi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here