‘Kita yakin capai kemenangan 32-0 di Terengganu…’ – Ahmad Samsuri

0
162

AHLI dan penyokong PAS diingatkan tidak terpesona dengan kekuatan parti sendiri termasuk kehadiran ramai pada program diadakan, sehingga memandang rendah parti lain pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata sikap itu boleh menjejaskan peluang gabungan PAS dan BERSATU memenangi lebih banyak kerusi bagi mengekalkan penguasaan di Terengganu.

Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Terengganu berkata, ahli dan penyokong tidak boleh terlalu selesa terutama apabila melihat kehadiran penyokong PAS yang ramai pada setiap program termasuk ketika penamaan calon yang menggambarkan parti itu memiliki sokongan padu sepenuhnya.

“(Sebagai contoh) jika di tempat saya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ru Rendang, katakanlah 40 orang yang hadir (di pihak parti lawan), kita jangan terpesona dengan kekuatan yang ada sehingga kita lena, jadi jangan tertipu dengan kelemahan lawan kita.

“Kita tidak mahu apabila anggap lawan kita lemah, kita terus tutup bilik gerakan, tak buat ceramah, tak ada kempen rumah ke rumah dan tak buat apa-apa.

“Jangan tertipu dengan apa yang kita lihat, sebaliknya kita terus bekerja dan atasi kelemahan sehingga saat terakhir,” katanya berucap pada Majlis Ceramah Mega Pengenalan Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu dan PRN di Kuala Ibai di sini, malam tadi.

Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar dan calon kerusi DUN Ru Rendang berkata, gabungan itu menyasarkan memenangi semua 32 kerusi DUN dan kerusi PRK Parlimen Kuala Terengganu.

“Kalau pilihan raya sebelum ini kita tak pernah ada matlamat mencapai kejayaan 32-0, tetapi kali ini kita mahu tepati sasaran itu kerana ia tidak mustahil dicapai.

“Kita tengok keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dulu, ia munasabah dan boleh dicapai.

“Apa yang boleh kita buat bermula saat penamaan calon hingga sampai ke garis penamat iaitu jam 5 petang pada 12 Ogos ini, dekati dan yakinkan pengundi walaupun berlainan parti,” katanya lapor BH.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here