Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Muda lapor polis dakwa ceramah Ahmad Zahid ada unsur sogokan -

Muda lapor polis dakwa ceramah Ahmad Zahid ada unsur sogokan

PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Terengganu membuat laporan polis terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi susulan penularan video di media sosial yang mendakwa terdapat unsur sogokan dalam ceramah politik pemimpin itu di Terengganu.

Laporan polis itu dibuat wakil Muda di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu kira-kira jam 4 petang pada Sabtu.

Muda dalam kenyataan malam Sabtu berkata, laporan itu dibuat bagi menggesa siasatan dilakukan berhubung kenyataan Ahmad Zahid ketika berceramah pada Himpunan Belia Lestari Generasi Unggul yang disyaki mengandungi unsur sogokan terhadap pengundi muda.

Menurut kenyataan itu, Ahmad Zahid didakwa menyampaikan ceramah dengan menyebut untuk menggunakan peruntukan bagi menarik sokongan belia sehari sebelum penamaan calon iaitu pada malam Jumaat.

“Dalam ucapan beliau ada menyebut untuk memberikan peruntukan sebanyak RM200,000 kepada seluruh (persatuan) motosikal di Terengganu asalkan pada 12 Ogos nanti mereka (belia) mengikut gelombang biru dan merah yang ada di Terengganu.

“Kita mengecam tindakan menggunakan dana (kementerian) sebagai modal berkempen daripada mana-mana kerajaan sekalipun. Apatah lagi apabila disebut dengan jelas oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang juga merupakan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah,” kata Muda.

Sehubungan itu, katanya, siasatan perlu dilakukan bagi mengekang penularan rasuah sepanjang tempoh kempen pilihan raya negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Terengganu.

“Walaupun tempoh kempen belum bermula, pengumuman beliau (Ahmad Zahid) sehari sebelum penamaan calon adalah jelas mengandungi unsur rasuah pilihan raya lapor Sinar Harian.