Banyak sebab PH-BN goyang 12 Ogos ini

0
159

Oleh MOHD AZAM MOHD ATAN

SEMASA majlis pengumuman calon-calon daripada PN dalam beberapa hari ini di Kedah, Selangor, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, kita semua dapat melihat kehadiran orang ramai yang memenuhi segenap ruang yang ada.

Sama ada penyokong tegar atau pun pengundi atas pagar, jumlah yang ‘melaut’ itu memberikan signal jelas tahap sokongan rakyat terhadap PN ketika ini, seterusnya menjadi gelombang rakyat menolak kerajaan PH-BN.

Bahkan, kehadiran dalam bentuk maya iaitu ‘views’ orang ramai terhadap majlis berkenaan secara puratanya mencecah puluhan ribu tontonan di pelbagai platform media sosial.

Begitu juga dengan siri-siri ceramah yang dianjurkan oleh kepimpinan PN, boleh dikatakan kebanyakannya mendapat sokongan yang luar biasa sama ada secara fizikal atau pun melalui media sosial.

Keadaan itu amat berbeza sekali dengan PH-BN yang terpaksa berhempas pulas menggunakan jentera kerajaan, mengangkut orang ramai dengan menggunakan bas dan pelbagai strategi lain tetapi belum dapat menyaingi kehadiran orang ramai ke kempen PN.

Kempen di media sosial juga mengalami nasib yang sama apabila PH-BN ‘struggle’ untuk mendapat jumlah penonton hinggakan ada sesetengah kempen oleh nama-nama besar PH-BN sendiri pun sukar untuk mencapai 1,000 tontotan.

Sebenarnya situasi seperti ini pernah berlaku pada 2018 ketika orang ramai pada waktu itu belum mengetahui siapa sebenarnya Anwar Ibrahim, Rafizi Ramli, Mat Sabu dan pimpinan PH lain hinggakan mempercayai setiap kata-kata daripada mulut mereka.

Kempen PH pasti dipenuhi hadirin berbeza dengan BN yang terpaksa bertungkus-lumus untuk mengumpul jumlah sokongan.

Dan kini setelah orang ramai tahu sikap sebenar barisan pimpinan PH yang cakap tidak serupa bikin, maka ramai yang sudah muak untuk mendengar bait-bait ucapan dari mulut mereka menyebabkan kempen PH jelas suram tidak seperti ketika mereka menjadi pembangkang.

Satu lagi faktor yang menyebabkan PH-BN bimbang dengan keputusan 12 Ogos ini ialah senarai calon-calon yang ditampilkan PN rata-ratanya mempunyai latar belakang yang dilihat boleh menarik sokongan pengundi.

Daripada golongan profesional, ahli akademik, agamawan, pemimpin berpengalaman hinggalah kepada pemain bola sepak, semuanya mempunyai aura yang lebih menarik berbanding pemimpin PH-BN.

Paling meresahkan PH ialah apabila mereka terpaksa menanggung beban apabila rakan sekutu baru mereka iaitu BN menampilkan calon-calon muka lama yang semua tahu adalah sukar untuk menang pada satu-satu kerusi.

Umpamanya menampilkan calon anak-beranak di Negeri Sembilan, calon recycle di Selangor dan pemimpin warlords yang masih mahu menjadi calon walaupun prestasi sebelum ini amat lemah.

Di pihak PH sendiri mereka pula terpaksa berhadapan dengan protes daripada dalam apabila terdapat calon-calon pilihan seperti di Selangor tidak dipersetujui oleh pimpinan di peringkat akar umbi.

Paling dibimbangi ialah akar umbi PH-BN yang masih tidak dapat menerima ‘perkahwinan’ segera kedua-dua gabungan walau atas apa alasan sekalipun kerana berbeza ideologi politik sejak sekian lama.

Dipercayai pada PRN kali ini, penyokong PH yang ditunjangi DAP tidak sesekali akan memberi undi kepada calon BN manakala penyokong UMNO yang menjadi tulang belakang BN tidak semudah itu memberi undi kepada calon DAP.

Rasa sangsi antara kedua-dua penyokong itu masih menebal kerana kerjasama antara kedua-dua gabungan dibuat atas kepentingan peribadi pimpinan atasan tanpa mengambil kira suara orang bawahan yang telah lama berjuang untuk parti.

Oleh itu, tidak hairanlah pimpinan PH-BN ketika ini dilihat tidak senang duduk dan setiap gerak-geri mereka jelas yang ketara bimbang dengan keputusan pada 12 Ogos ini.

Penulis adalah penganalisis politik dan ekonomi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here