PRN: PN yakin 32 calon mampu beri kemenangan, kata Hadi

0
203

PERIKATAN Nasional (PN) yakin 32 bakal calon yang dipertaruhkan untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu pada 12 Ogos ini akan membawa kemenangan.

Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, semua bakal calon yang diumumkan sudah melalui proses tapisan oleh Majlis Syura Ulama dan pimpinan parti selain perlu melakukan baiah atau ikrar taat setia kepada parti.

Beliau yang juga Presiden Pas turut meminta semua calon Dewan Undangan Negeri (DUN) bekerja dengan bersungguh-sungguh untuk memastikan kemenangan PN seterusnya kekal mentabdir Terengganu.

“Untuk maklumat, semua calon-calon yang kita pilih ini bagi Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ada penapisan dia dan ada ikrar dia… Pas ada penapisan Majlis Syura Ulama (untuk) tapis tiap-tiap orang calon.

“Majlis Syura Ulama tapis pastikan calon ini seorang yang tidak fasik, adil, tidak buat dosa besar, tak buat salah laku (dan) mesti ditapis betul-betul.

“(Calon yang bertanding perlu) lulus mengikut hukum dan syariat Islam bukan mengikut berita-berita orang cakap kerana hukum Islam ada caranya dan membuat tabayyun (menyemak atau memeriksa) mengikut ajaran Allah SWT,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengisytiharan Calon PN/PAS Terengganu di Dewan Tok Guru, Rusila di Marang malam tadi.

Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Terengganu, Senator Datuk Husain Awang berkata, PRN kali ini PN menampilkan calon-calon yang mempunyai kewibawaan yang luar biasa bagi memastikan kemenangan parti itu.

“Ini membabitkan 16 calon atau 50 peratus calon ulama atau berkelulusan agama, 13 calon daripada golongan profesional dan usahawan (39.5 peratus) dan tiga lagi calon dengan lain-lain latar belakang.

“Ia menandakan bahawa satu keadaan dan satu kombinasi yang akan mampu menterjemahkan dasar dan hala tuju Pas untuk memimpin dan mengendalikan kerajaan (Terengganu) bagi penggal lima tahun yang akan datang,” katanya, lapor Harian Metro.

Pada majlis itu, seramai 33 calon termasuk seorang calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu diumumkan.

Daripada 32 DUN di Terengganu, Pas akan bertanding di 27 kerusi DUN manakala kerusi Hulu Besut, Telemung, Permaisuri, Seberang Takir dan Kijal akan ditandingi calon Bersatu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here