Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
PEJUANG tak sertai PRN, tumpu kukuhkan parti untuk PRU-16  – Mukhriz -

PEJUANG tak sertai PRN, tumpu kukuhkan parti untuk PRU-16  – Mukhriz

PARTI Pejuang Tanah Air (PEJUANG) mengambil pendirian tidak akan menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) membabitkan enam negeri yang akan berlangsung pada 12 Ogos ini.

Presiden PEJUANG, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata parti itu sebaliknya akan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan kedudukan bagi menyertai Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.

Ditanya sama ada jika diberi peluang bertanding dalam PRN oleh Perikatan Nasional (PN), Mukhriz berkata, untuk tempoh tiga minggu akhir sudah agak terlewat untuk pihaknya mempertimbangkan sebarang tawaran sedemikian.

Mengakui ada usaha bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad, untuk PEJUANG bertanding, pihaknya masih belum menerima maklum balas rasmi dari PN mengenai perkara itu.

“Lebih baik kami (PEJUANG) tumpu kepada memperkukuhkan parti dan kekal berprinsip terhadap perjuangan,” katanya pada  sidang media selepas Program Amanat Presiden bersama pimpinan negeri dan sayap parti di Kuala Lumpur, lapor Berita Harian.

Mukhriz berkata, pihaknya sudah memaklumkan kepada Dr Mahathir berhubung PEJUANG untuk tidak bertanding dalam PRN akan datang.

“Berundur setapak bukan bererti berundur selamanya, kita akan terus menegakkan prinsip perjuangan parti. Kami (PEJUANG) bersetuju dengan kenyataan Dr Mahathir bahawa undi Melayu tidak seharusnya dipecahkan,’ katanya.

Tambah beliau, jika ada tawaran saat akhir untuk bertanding dalam PRN, pihaknya dengan rendah diri terpaksa menolaknya.

Mukhriz berkata, keputusan untuk tidak bertanding itu diputuskan di mesyuarat exco PEJUANG minggu lalu.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya tidak menghalang jentera parti itu turun padang dan membantu calon parti lain.

“Kami tidak halang, tetapi jangan guna nama PEJUANG secara rasmi. Itu hak mereka secara individu, namun tidaklah sehingga mereka naik ke pentas dan berceramah untuk parti lain,” katanya.