Peniaga cedera bungkusan meletup di belakang restoran

0
201

SEORANG peniaga cedera di muka dan badan akibat letupan bungkusan yang diletak di belakang sebuah restoran di Jalan Pantai Chenang, Langkawi, hari ini.

Dalam kejadian jam 10.27 pagi itu, mangsa berusia 26 tahun dilaporkan cedera selepas bungkusan itu meletup secara tiba-tiba, sebaik mangsa membukanya.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, berkata mangsa adalah seorang pemegang kad Kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

“Difahamkan, mangsa mengusahakan kedai makan terbabit dengan menyewa bahagian belakang restoran.

“Letupan itu menyebabkan mangsa cedera di muka dan badan sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Maliha menggunakan ambulans untuk menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.

Shariman berkata, mangsa dilaporkan berada dalam keadaan sedar dan stabil.

“Unit Pemusnah Bom dan Unit Anjing Pengesan (K9) turut digerakkan ke lokasi untuk membuat siasatan dan mengesan suspek yang melakukan jenayah terbabit.

“Polis juga sedang mengenal pasti motif kejadian,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here