PRN: Hantar mesej jelas bahawa rakyat Kedah mahu projek KXP

0
182

MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyifatkan pilihan raya negeri (PRN) kali ini amat penting untuk rakyat negeri itu.

Katanya, rakyat Kedah boleh menghantar mesej bahawa mereka mahukan projek pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) dilaksanakan dengan memilih PN.

“PRN enam negeri ini penting. Kita boleh hantar mesej bahawa rakyat Kedah nak KXP.

“Nak KXP bagi jadi, kena pangkah PN. Rakyat Kedah beri kepada PN semua, kita menang 36-0 insya-Allah. Selepas itu, KXP kita pulun,” katanya pada program Santai Petang Bersama MB Kedah, di Baling, petang tadi.

Menurutnya, sehingga kini projek yang bakal memberi limpahan ekonomi kepada negeri itu tergantung tidak dapat dimulakan susulan menanti kelulusan kerajaan Persekutuan.

“Tinggal nak beri keizinan sahaja. Kalau mereka tidak ke Kedah, mereka akan ke Sumatera. Kedah dan Sumatera ini dipisahkan oleh Selat Melaka, tak jauh. Sebaik-baiknya, kita ambillah peluang itu.

“Kita akan jadi pusat masuk dan keluar barangan. Model yang kita bina ini, paling kurang akan beri peluang kerja…apabila semua sektor dalam KXP itu mula beroperasi, peluang kerja paling sedikit 24,000 orang. Ia akan sampai 45,000 apabila ia beroperasi pada tahap 100%,” katanya.

Jelasnya, kebenaran membina landasan kapal terbang tertakluk di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan.

“Dalam undang-undang, negeri tiada bidang kuasa untuk pengambilan tanah untuk buat landasan kapal terbang. Tak boleh. Itu bidang kuasa kementerian pengangkutan. Jadi kementerian kena beri kebenaran kepada kita untuk buat landasan kapal terbang. Ini saja yang sangkut.

“Dari segi tenikal semua dah lepas. Kami tunggu kelulusan sahaja. Macam-macam alasan dicipta untuk menghalang kita. Inilah cabaran yang perlu didepani,” katanya.

Beliau menegaskan tiada siapa boleh menghalang negeri itu untuk membangun mengikut acuannya sendiri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here