Fahmi patut ambil tanggungjawab, letak jawatan serta merta

0
203

MENTERI Komunikasi dan Media Fahmi Fadzil digesa meletak jawatan serta-merta susulan kontroversi artis luar negara membuat persembahan dengan adegan bercumbu sesama lelaki semalam dalam sebuah konsert.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata Fahmi sebagai menteri bertanggungjawab menjaga kelulusan konsert dan hiburan perlu meletak jawatan apabila terlepas pandang membenarkan kumpulan artis mengamalkan budaya songsang masuk ke Malaysia untuk membuat persembahan.

“Fahmi Fadzil wajib mengambil tanggungjawab atas aksi liar, lucah dan di luar tabii yang dipamerkan kepada anak-anak muda Malaysia semasa Good Vibes Festival.

“Saya menggesa Fahmi meletak jawatan serta merta kerana terbukti dia tidak kompeten menjalankan tanggungjawab.

“Kerajaan juga mesti mengambil tindakan undang-undang yang keras terhadap aksi luar tabi’e yang dilakukan di khalayak umum. Jangan sekadar batalkan konsert sahaja,” katanya dalam satu kenyataan media di Facebook.

Wan Saiful juga membidas Fahmi supaya tidak mencari kesalahan orang lain berhubung isu adegan cium lelaki dengan lelaki semalam.

“Bagaimanapun saya menjangka Fahmi akan meletakkan kesalahan kepada orang lain. Yang akan menjadi mangsa ialah penjawat awam dalam agensi kerajaan. Menyalahkan orang lain adalah modus operandi biasa kerajaan yang tidak kompeten ini.

“Aksi luar tabii yang dipertontonkan kepada anak muda semasa Good Vibes Festival amat jauh bertentangan dengan nilai dan budaya negara kita,” ujarnya lagi, lapor Agenda Daily.

Sewaktu persembahan malam tadi, vokalis kumpulan The 1975, Matty Healy dikatakan memegang botol arak ketika berada di atas pentas selain berkelakuan lucah dan membuat ucapan menghina undang-undang Malaysia berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here