Harimau Malaya mampu tembusi ranking 120 terbaik dunia menjelang Piala Asia

0
489

SKUAD Harimau Malaya mampu menembusi ranking 120 terbaik dunia menjelang Piala Asia 2023 di Qatar, awal tahun depan.

Keyakinan itu disuarakan Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Mohd Firdaus Mohamed dengan syarat skuad kendalian Kim Pan Gon itu mencatatkan sekurang-kurangnya satu kemenangan daripada dua aksi pada jendela perlawanan antarabangsa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bermula 4-12 Sept ini, serta muncul juara Pestabola Merdeka.

FAM sedang berbincang dengan pasukan pada kedudukan ke-80 dunia China dan Mesir (34 dunia) untuk aksi persahabatan September ini, namun belum dimuktamadkan. Difahamkan aksi itu akan berlangsung di luar negara.

“Walaupun ranking China 100 terbaik dunia, tetapi prestasi pasukan itu sedang menurun, jadi kita kena ambil kesempatan atas kelemahan pasukan itu. Dengan prestasi semasa pasukan kebangsaan kita, yakin boleh capai sasaran itu,” katanya kepada pemberita selepas Pelancaran Piala Agong dan Piala Emas Raja-Raja Melayu (PERR) 2023 di sini, hari ini.

Mohd Firdaus berkata skuad Harimau Malaya juga perlu mengungguli Pestabola Merdeka di Stadium Nasional Bukit Jalil dijangka bermula 16 Okt ini, selain pusingan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bermula November untuk mencapai misi itu.

Katanya pasukan di ranking dunia ke-96 Palestin, India (99) dan Lubnan (100) akan turut beraksi dalam Pestabola Merdeka kali ini.

Sebelum ini, Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin yakin skuad negara mampu mencapai ranking ke-120 teratas dunia sekiranya meraih keputusan positif dalam kesemua enam aksi pada jendela perlawanan antarabangsa FIFA pada Jun, September dan Oktober ini.

Selepas kemas kini FIFA pada Selasa, skuad negara berjaya melonjak satu anak tangga ke kedudukan ke-136 dunia. (Ranking terbaik Malaysia adalah di kedudukan ke-75 dunia yang dicapai pada 1993.)

Sementara itu, Mohd Firdaus juga percaya Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) mampu menyelesaikan kerja-kerja pertukaran rumput di Stadium Nasional untuk menganjurkan Pestabola Merdeka.

“Ketika mesyuarat baru-baru ini, kita difahamkan kerja penanaman rumput baharu akan bermula pada awal Ogos dan selesai sebelum Pestabola Merdeka. Namun, jika tidak dapat, kita ada beberapa venue alternatif, antaranya di Pulau Pinang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM) berkata juara bertahan Piala Agong Kuala Lumpur bakal menentang juara PERR 2022, Selangor pada 27 Okt ini.

Edisi ke-101 PERR yang akan berlangsung selepas Piala Agong, menyaksikan 16 pasukan bawah 25 tahun termasuk pasukan jemputan dari Singapura, berentap untuk meraih hadiah wang tunai RM50,000 bagi juara dan RM30,000 bagi naib juara.

“Pemain-pemain yang boleh menyertai kejohanan ini adalah dari kalangan pemain Piala Presiden, Piala Belia, Liga M4 dan Liga M5, tetapi pemain Liga M3 dan Reserve League tidak dibenarkan.

“Tujuan kejohanan ini adalah untuk pembangunan dan sebagai platform kepada pemain untuk melonjak ke liga lebih tinggi,” katanya.

Mengikut format perlawanan, pasukan akan dibahagikan dalam empat kumpulan mengikut zon, dengan hanya dua pasukan teratas akan mara ke suku akhir. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here