PRN: Razali cabar Ahmad Said di Kijal, siapa 4 lagi calon Bersatu di Terengganu?

0
181

Oleh MOHD LAZIM ENDUT

SPEKULASI dan desas desus mengatakan bahawa Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris bakal menentang bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini semakin galak diperbualkan rakyat di negeri ini.

Ia susulan wujudnya pelbagai laporan dan dakwaan mengenai perkara tersebut yang tersiar menerusi saluran media sosial mengaitkan Razali yang juga Pengerusi Bersatu Terengganu bakal bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal.

Sekiranya benar, ini bermakna Razali bakal menjadi nakhoda perang terbaharu yang ditugaskan untuk menewaskan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu itu.

Begitulah antara desas desus dan spekulasi terkini hangat diperbualkan mengenai calon Bersatu yang dikaitkan bertanding dalam PRN nanti.

Razali Idris

Malah, sejak kebelakangan ini teka teki mengenai siapakah calon-calon daripada parti Bersatu negeri ini yang bakal tersenarai terus diperkatakan.

Selain calon, ada kalangan pengundi bertanya berapa banyakkah kerusi DUN yang bakal ditandingi parti gabungan Perikatan Nasional (PN) itu.

Kebanyakan pengundi seakan tidak sabar untuk mengenal pasti calon-calon pilihan mereka yang bakal dipangkah ketika membuang undi pada kali ini.

Nama-nama calon yang dikaitkan dengan parti Bersatu bakal bertanding dalam PRN nanti juga turut heboh diperkatakan menerusi saluran media sosial.

Ahmad Said

Nama Razali semakin mendapat perhatian selepas Pengarah Pilihan Raya Pas, Ariffin Deraman seperti memberi signal terhadap perkembangan tersebut.

Ariffin yang juga bekas ADUN Alor Limbat dalam satu kenyataannya sebelum ini menyatakan bahawa Pas menyerahkan kepada kepimpinan Bersatu Terengganu untuk menentukan calon yang akan bertanding di kerusi DUN Kijal pada PRN nanti.

Bagaimanapun kata Ariffin, setakat ini keputusan mengenai calon dan kerusi yang akan bertanding belum dimuktamadkan.

Maka itu ujarnya, perkara itu terserah kepada Bersatu Terengganu, kalau Razali diangkat sebagai calon, dia bertandinglah, tetapi setakat ini belum ada sebarang keputusan dibuat.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu, Datuk Rosol Wahid juga pernah memberitahu, parti itu dijangka bertanding di lima daripada 32 kerusi DUN dalam PRN nanti.

Lima kerusi berkenaan ialah Kijal, Langkap, Kuala Besut, Permaisuri dan Telemong.

Pada masa sama beliau turut mengharapkan rakan-rakan dalam gabungan PN memberi tambahan beberapa kerusi lagi walaupun bukan 10 kerusi sepertimana pernah dituntut sebelum ini.

Rosol Wahid

Sementara itu, difahamkan empat lagi nama calon Bersatu yang turut dikaitkan bertanding ialah Ketua Bersatu Kuala Nerus, Khazan Che Mat.

Khazan yang juga merupakan bekas ADUN Batu Rakit (2004) dan bekas Pengerusi Jawatatankuasa Agama dan Penerangan Negeri dikatakan bakal bertanding di DUN Langkap.

Sementara bekas ADUN Kuala Berang, Mohd. Zawawi Ismail pula dikatakan bakal menentang Setiausaha UMNO Terengganu, Datuk Rozi Mamat di kerusi Telemong.

Pada mulanya, nama Rosol turut dicadangkan bertanding di Telemong untuk membolehkan beliau menewaskan Rozi sekali lagi sepertimana dilakukan ketika bertanding di kerusi parlimen Hulu Terengganu pada PRU-15 19 November tahun lalu.

Namun, Rosol telah mengesahkan beliau tidak akan bertanding dalam PRN nanti untuk memberi peluang kepada calon baharu disamping tidak dikatakan terlalu tamak.

Turut dikaitkan bertanding ialah Ketua Bersatu Setiu, Mohd. Yusop Majid dikatakan akan bertanding di DUN Permaisuri menentang Abdul
Halim Jusoh daripada Barisan Nasional (BN).

Seorang lagi yang disebut-sebut ialah Ketua Bersatu Besut, Mohd Hussaimi Hussin yang dikatakan akan bertanding di Kuala Besut menentang Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman (BN).

Penulis difahamkan senarai penuh calon yang mewakili parti dan DUN yang akan bertanding pada PRN nanti dijangka diumumkan selewat-lewatnya esok (Khamis).

Dalam PRU14 pada 9 Mei 2018, Pas berjaya memerintah Terengganu setelah menang 22 daripada 32 kerusi yang dipertandingkan.

Kerusi tersebut ialah DUN Bandar, Ladang, Batu Burok, wakaf Mempelam, Rhu Rendang, Alor Limbat, Bukit Payong, Pengkalan Berangan, Rantau Abang, Sura, Paka, Bukit Tunggal, Manir, Tepoh, Buloh Gading, Kota Putera, Jabi, Chukai, Kuala Berang, Air Putih, Ajil dan Kemasik.

BN pula hanya menang di 10 kerusi iaitu Seberang Takir, Kijal, Telemong, Hulu Besut, Bukit Besi, Jertih, Langkap, Batu Rakit, Kuala Besut dan Permaisuri. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here