Guna Akta Hasutan bertentangan janji reformasi Kerajaan Perpaduan – Muhyiddin

0
119

PENDAKWAAN menggunakan Akta Hasutan terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilihat bertentangan dengan janji reformasi yang pernah dilaungkan pimpinan Kerajaan Perpaduan.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan hari ini semakin galak menggunakan instrumen undang-undang menekan lawan politik mereka.

“Inilah wajah sebenar mereka untuk ditatap oleh rakyat,” katanya sambil menzahirkan rasa simpati terhadap Muhammad Sanusi yang didakwa atas dua pertuduhan di bawah Akta Hasutan, pada Selasa.

Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya PN dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Majistret Selayang pada Selasa, bagi menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(A) Akta Hasutan.

Beliau didakwa melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan yang mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja.

Sementara itu, Muhyiddin turut menegaskan dasar dan prinsip perjuangan PN yang utama ialah untuk menjunjung, memelihara dan mempertahankan kedaulatan dan kemuliaan institusi Raja-Raja Melayu sebagai Raja Berperlembagaan.

“Prinsip ini akan terus dipertahankan. Dalam menjunjung semangat ini, saya juga berdoa semoga sahabat saya Muhammad Sanusi mendapat keadilan di mahkamah.

“Saya juga mengajak seluruh rakyat supaya bersama-sama bermunajat dan mendoakan keselamatan beliau serta kekal bertenang,” ujar beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini lapor Astro AWANI.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here