PM kelirukan orang ramai atas pertuduhan Sanusi – LFL

0
154

NGO peguam hak asasi manusia Lawyers for Liberty (LFL) menuduh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat kenyataan “palsu dan mengelirukan” berhubung pertuduhan menghasut terhadap menteri besar sementara Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Pengarah LFL Zaid Malek berkata walaupun Anwar mendakwa pertuduhan itu perlu untuk melindungi institusi diraja namun perdana menteri mempunyai kepentingan langsung dalam salah satu pertuduhan itu.

“Pemeriksaan terhadap pertuduhan kedua mendedahkan bahawa ia tidak berkaitan dengan sebarang kritikan terhadap seorang raja atau Agong. Ia sebenarnya adalah kritikan terhadap perdana menteri Anwar berhubung pembentukan kerajaan perpaduan, mempersoalkan dakwaan yang dibuatnya pada masa itu.

“Oleh itu dakwaan Anwar bahawa Akta Hasutan 1948 telah digunakan hanya kerana ia menyentuh ‘kedudukan, maruah Raja-Raja Melayu’ adalah tidak benar.

“Ringkasnya, dalam pertuduhan kedua Akta Hasutan digunakan ke atas Sanusi, seteru politik yang lantang itu, tidak lebih daripada mengkritik perdana menteri.

“Ini adalah salah guna kuasa dan penindasan, jelas dan mudah,” kata Zaid pada satu kenyataan hari ini.

Pertuduhan pertama menuduh Sanusi mengulas tentang bagaimana salasilah keluarga diraja Kedah menunjukkan jalur keturunannya tidak pernah putus seperti keluarga diraja lain.

Pertuduhan kedua terhadap Sanusi berkaitan keraguannya berhubung dakwaan Anwar bahawa Yang di-Pertuan Agong telah menitahkan bahawa kerajaan perpaduan perlu dibentuk pada November 2022.

Kedua-dua pertuduhan itu berdasarkan ucapan Sanusi pada 11 Julai di Selayang, Selangor semasa perhimpunan Perikatan Nasional.

Bahagian transkrip ucapan yang berkaitan yang dilampirkan pada helaian pertuduhan diterbitkan semula pada penghujung laporan ini.

Sementara itu, Zaid berhujah bahawa institusi diraja memainkan peranan dalam pemilihan menteri besar dan perdana menteri.

Katanya lagi, memang wajar sebarang persoalan atau kritikan yang timbul berhubung pelantikan menteri besar dan perdana menteri akan menyentuh peranan institusi diraja.

“Ini menuju kemerosotan untuk membenarkan Akta Hasutan digunakan dengan berselindung atas nama menjaga kemuliaan institusi diraja kerana kerajaan boleh memanjangkan hujah yang sama ini kepada perkara lain, termasuk kaum atau agama.

“Kelayakan baru, licik, berbelit-belit ala Anwar ini hanya akan membawa kepada penggunaan tanpa batasan Akta Hasutan 1948,” hujah Zaid.

Zaid berkata Akta Hasutan 1948 adalah undang-undang yang mempunyai “kuasa berlebihan” yang akhirnya menyekat kebebasan bersuara dan kebebasan politik.

“Anwar kini mempertahankan undang-undang ini dengan tiba-tiba mengubah pendiriannya mengenai penggunaan Akta Hasutan dengan mendakwa boleh diterima menggunakannya kononnya untuk menjaga institusi diraja.

“Gesaan supaya pemansuhannya oleh Anwar dan PH semasa pembangkang tidak pernah mempunyai kelayakan seperti itu, dan adalah menipu dan tidak jujur untuk mencadangkan sekarang ada perbezaan harus dibuat,” kata Zaid lapor Malaysiakini.

Sehubungan itu, Zaid menggesa kerajaan mengenakan moratorium terhadap penggunaan Akta Hasutan 1948 dan memansuhkannya secara langsung dalam sidang parlimen akan datang.

Komen berbaur hasutan yang didakwa dibuat oleh Muhammad Sanusi Md Nor mengikut kertas pertuduhan:

Pertuduhan pertama

Sultan, satu-satunya Sultan yang ada susur galur daripada hari pertama kerajaan Kedah ditubuh sampai sekarang ini Sultan tu dari satu susur jalur tak pernah putus, Kedah Darul Aman. Haa.. hebatnya Sultan Kedah nih.. bukan koman-koman, Sultan tara tu, hangpa bayangkan tengok Menteri Besaq. Sultan hebat macam tu tak akan pilih Menteri Besaq cokia macam Amir tuh. Inci pon tak berapa cukup.. hahaha. Tarik balik pasal inci.

Pertuduhan kedua

Pada Ketika, Anwar Ibrahim dia rasa nak untung dia, dia akan guna titah Diraja nih habis-habisan walaupun orang lain tak dengaq. Tuan-tuan dengaq tak kata Agong kata tubuh Kerajaan Perpaduan, Tuan-tuan dengaq tak? Takdak sapa di dunia inl dengaq dia sorang ja. Takdak.. takdak sapa dengaq. Dalam vid dalam video takdak, dalam tv takdak, dalam surat habaq takdak, takdak sapa dengaq, Anwar Ibrahim sorang dengaq. Satu Malaysia percaya kat dia. Dia habaq kata Agong titah tubuh kerajaan perpaduan, ada sapa pi tanya Agong Tuanku titah ka Tuanku? Takdak haaa.. dia guna titah diraja tu di kata untuk tubuhkan kerajaan perpaduan himpunkan segala hoi ya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here