Oleh RIZQI ZABIDI
TINDAKAN pihak lawan menggunakan fitnah untuk menyerang serta menjatuhkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, menggambarkan hipokrasi pihak berkenaan yang sering melaungkan mengenai kematangan politik.
Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahaya turut mempersoalkan apakah pihak berkenaan tiada lagi modal untuk membahaskan prinsip politik serta dasar cemerlang sepanjang pentadbiran Muhammad Sanusi hingga terpaksa mengheret isu peribadi ke medan politik.
Justeru katanya, pihaknya mengecam tindakan tersebut yang sememangnya menjadi amalan politik Pakatan Harapan (PH) sejak sekian lama.
“Perkara ini menggambarkan hipokrasi politik matang yang sering dilaungkan oleh pihak berkenaan. Seolah-olah ‘Mengata dulang paku serpih, mengata orang mereka yang lebih. Tuduhan semberono sebegini sememangnya menjadi amalan politik Pakatan Harapan (PH). Sejak awal mereka mengambil alih pentadbiran lagi pelbagai tuduhan yang menyimpang dihalakan kepada Perikatan Nasional (PN),” katanya.
Baru-baru ini timbul dakwaan di media sosial mengenai pemilikan sebuah banglo di Sik yang dikatakan milik Muhammad Sanusi tetapi didaftarkan atas nama adiknya.
Namun Muhammad Sanusi kemudiannya menjelaskan bahawa rumah itu adalah milik abangnya yang bekerja selama berpuluh tahun sebagai penyelam dasar laut telah banyak berkorban selama ini.
Mengulas lanjut Ahmad Yahaya berkata, tuduhan jahat dilakukan pihak lawan turut pernah dibuat terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin kononnya terlibat dengan rasuah.
“Sedangkan kes tersebut belum pun dibicarakan di mahkamah. Begitu juga tuduhan ke atas Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika beliau menjadi Menteri Alam Sekitar dan Air sebelum ini oleh Timbalan Presiden PKR, Rafiz Ramli, namun ia terus menyepi hingga ke hari ini.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga pernah menudh PN menerima dana daripada syarikat perjudian tetapi akhirnya terbukti perkara itu satu fitnah dan pembohongan. Dari situ, satu Malaysia dapat menyaksikan bahawa pembohonan dan fitnah menjadi makanan mereka dalam politik,” katanya.
Ahmad Yahaya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, lebih malang lagi ada badan-badan penguatkuasa diarahkan oleh pihak tertentu untuk terus menjatuhkan reputasi Menteri Besar Kedah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.
“PAS Kedah sekali lagi mengulangi bahawa rakyat Malaysia seharusnya menjauhi politik kotor yang dimainkan oleh pihak lawan. Politik fitnah dan adu domba bukanlah identiti politik negara yang harus diangkat ke tengah. Pas Kedah yakin rakyat sudah matang untuk menilai PH sebagai kaca, manakala PN sebagai permata. Jelas dan terang,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.