PRN: PN-Pas beri signal awal, jentera UMNO sedang mogok?

0
223

Oleh MOHD LAZIM ENDUT

BENARKAH dakwaan mengatakan bahawa jentera UMNO di beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri di Terengganu sedang mogok?

Begitulah antara isu yang kembali hangat diperkatakan oleh kebanyakan pihak di negeri ini apabila ketika petugas Pas sedang rancak menaikkan bendera parti mereka, namun jentera UMNO masih belum kelihatan khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang.

Sehingga ini rata-rata jambatan di Terengganu khususnya Jambatan Marang dan Kuala Ibai telah didominasi bendera Pas yang mewakili Perikatan Nasional (PN). Sedangkan bendera UMNO seakan longlai dan tidak bermaya hanya dipasang di beberapa lokasi tertentu sahaja.

Ada yang bertanya apakah kehilangan jentera UMNO ketika tarikh PRN sudah ditetapkan disebabkan ura-ura mengatakan bahawa PH-BN bakal meletakkan calon daripada parti Amanah bertanding di DUN tersebut? Jika ia berlaku, bermakna dakwaan mengenai isu protes melibatkan jentera UMNO ke atas calon PH sebelum ini ada kebenarannya.

Bagi kebanyakan pemerhati politik di negeri ini pula, mereka terus mengulangi pandangan sama mengatakan PH-BN dilihat semakin sukar untuk menawan semula Terengganu. Mereka berpendapat, perkara itu jelas berdasarkan sambutan luar biasa rakyat Terengganu terhadap berapa program diadakan PN khususnya Pas.

Malah, sambutan luar biasa ke atas program Ceramah Perdana Jelajah Mega PNBest Himpunan Teguh Pertahan yang diadakan di Dataran Jambatan Angkat, Kuala Terengganu, minggu lalu jelas membuktikan perkara itu. Hampir 100,000 orang pengunjung dikatakan hadir menyertai program tersebut.

Manakala pada sebelah petang pula lebih 10,000 konvoi bermotosikal melibatkan anak muda yang mengiringi Naib Presiden Pas Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar hadir ke program Santai Anak Muda Himpunan Teguh Pertahan. Perkembangan ini agak jelas menunjukkan orang Terengganu kini memberi sokongan kuat kepada PN. Ia sekaligus membuktikan bahawa PN semakin diterima oleh rakyat khususnya pengundi di negeri ini.

Sambutan terhadap program himpunan itu juga dikatakan memberi signal atau amaran awal kepada parti lawan khususnya Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bahawa PN semakin sukar ditewaskan dalam pilihan raya pada 12 Ogos depan.

Sepertimana kata Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid mengenai anak muda mewakili parti Pas adalah sebagai pejuang tulen.

Katanya, apa yang menakjubkan apabila peserta konvoi bermotosikal berkenaan bukan sahaja hadir secara sukarela dan tidak dibayar walau satu sen, tetapi juga sanggup mengeluarkan duit poket sendiri untuk membeli baju t berharga RM15 sehelai di samping turut menderma.

Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan parti Bersatu turut terkesan ketika parlimen dibubarkan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu apabila pejuang dan penyokong Pas dikatakan sanggup membeli segulung bendera menggunakan duit poket sendiri.

“Macamana nak lawan?, Mereka sanggup berkorban apa sahaja demi perjuangan untuk parti. Perkara ini tidak ada dalam mana-mana parti sama ada UMNO, PKR ataupun Amanah,” ujar Rosol menerusi satu video yang disiarkan selepas program himpunan tersebut.

Program Ceramah Perdana Jelajah Mega PNBest Himpunan Teguh Pertahan dirasmikan Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin.
.
Beliau yang juga Presiden Bersatu menyifatkan kehadiran orang ramai pada malam itu sangat luar biasa sambil meminta rakyat Terengganu terus memberi mandat kepada PN dalam PRN pada 12 Ogos depan. Turut hadir ialah Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Pengerusi Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa dan Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri yang turut menyampaikan ceramah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here