Ketua Polis Negara yakin dapat tangkap Jho Low

0
188

POLIS yakin dapat membawa balik ahli perniagaan yang dikehendaki, Low Taek Jho (Jho Low) untuk berdepan tindakan undang-undang di negara ini berhubung peranannya dalam skandal 1MDB.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain juga memberi jaminan polis tidak pernah menghentikan siasatan kes itu, sebaliknya meminta diberi masa untuk menyelesaikan tugas mereka.

“Kalau Jasmine Loo pun kita boleh bawa balik, masa saja akan menentukan. PDRM tak pernah berhentikan apa-apa siasatan kita,” katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.

Razarudin mengulas penahanan Jasmine Loo Ai Swan, yang merupakan rakan Jho Low, Jumaat lalu.

Wanita itu ditahan di Kuala Lumpur dan direman pada Sabtu.

Dia disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, yang berkaitan dengan jenayah pecah amanah oleh penjawat awam atau ejen.

Loo ialah bekas pengarah eksekutif strategi kumpulan 1MDB – dan didakwa berada dalam lingkungan kenalan rapat Low.

Ditanya mengenai punca yang membawa kepada penahanan Loo, Razarudin enggan mendedahkan lanjut.

Ditanya bagaimana polis berjaya menahan Loo, Razarudin berkata dia tidak boleh mendedahkan terlalu banyak maklumat atas sebab keselamatan.

“Saya tak mahu cerita sebenarnya, pasal kita juga khuatir sama ada dia suspek atau saksi, ini akan jadi bahaya untuk beliaulah

“Bahaya dari segi keselamatan dia. Pasal kita ni sebagai badan penguatkuasa yang jaga keselamatan harta dan nyawa, jadi kita tahu apa bahaya dia, apa maklumat kita ada. Bukan kata kita nak rahsia, tidak,” katanya.

Razarudin juga memberitahu media dia tidak boleh menjawab soalan mengenai lokasi Jho Low atau di negara mana Loo bersembunyi, dengan menegaskan ia ada kaitan dengan “langkah taktikal polis”.

Menurutnya tindakan mendedahkan maklumat mengenai mana-mana suspek hanya akan menyebabkan mereka mengelak daripada pihak berkuasa.

“Saya tak akan cerita dengan kamu di mana Jho Low berada. Saya juga tidak pernah cakap Jasmine Loo dekat mana, tapi kita ambil dia.

“Jika kita dedahkan siasatan kita, pecahlah rahsia. Larilah orang (suspek),” katanya, lapor MalaysiaKini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here